25 Januari 2022, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – “Pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang menumpukan usaha untuk merealisasikan beberapa projek pembangunan fizikalnya, termasuklah pemantauan terhadap pelaksanaan pembangunan Kompleks MAIPs yang akan menjadi ibu pejabatnya di Kangar menjelang tahun 2024.

“Selain itu, MAIPs juga sedang memberikan fokus terhadap beberapa projek mercu tanda yang sedang dirancang berkaitan dengan Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 seperti Klinik Pakar Katarak, Kampus Tetap Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Muzium 4 Mazhab, Asrama Sekolah Agama Rakyat dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis.”

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ikram Kampung Sena. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Encik Mazlan Ahamad.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menanam pokok bunga kertas sebagai simbolik kenangan di Yanies Rest House Chalet and Pool, Kubang Siput.

Penyerahan tersebut diadakan di Yanies Rest House Chalet and Pool yang baru beroperasi di Kubang Siput sejak seminggu yang lalu. Baginda turut berkenan menanam sepohon pokok bunga kertas sebagai simbolik kenangan keberangkatan baginda ke chalet tersebut. Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menganjurkan Hari Kerjaya Temu Duga Terbuka MAIPs pada penghujung minggu yang lalu. Program tersebut telah membuka sebanyak 400 hingga 600 peluang pekerjaan untuk direbut oleh masyarakat negeri Perlis, khususnya golongan asnaf dan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.