Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeseri – Tadbir urus yang baik diperlukan bagi meningkatkan lagi keupayaan sesebuah organisasi dalam merealisasikan matlamatnya serta membawa kebaikan kepada semua pihak, sama ada pada peringkat organisasi, rakyat, negeri mahupun negara.
“Organisasi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan agensi-agensi bersamanya dapat menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat dengan adanya prosedur dan polisi yang jelas. Pemantapan aspek integriti juga akan melahirkan sumber manusia yang lebih cekap dalam usaha melaksanakan segala dasar secara efisien. Urusan di kaunter misalnya akan menjadi lebih sistematik dengan adanya piagam pelanggan dan polisi yang dipatuhi oleh setiap individu yang dipertanggungjawabkan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ihsan, Kampung Darat, Beseri untuk diagihkan oleh amilnya, Che Lah Che Man. Baginda turut diiringi oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ruzaini Rais dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.