20 Januari 2022, 10:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan, Akademi Profesor Malaysia (APM) telah menganjurkan Siri Syarahan Felo Kehormat APM yang bertajuk “Wajah Insan dalam Pandangan Agama dan Sains” pada 19 Januari 2021 pukul 10.00 pagi. Siri syarahan yang disiarkan secara atas talian melalui aplikasi zoom dan saluran Youtube rasmi APM ini merupakan satu daripada  program utama anjuran APM selain beberapa program utama yang lain seperti Siri Syarahan Tamu APM, Sidang Meja Bulat APM, Persidangan APM dan Forum APM yang dikenali sebagai Wacana Akademi Profesor. Siri syarahan ini juga menyediakan platform kepada felo Akademi Profesor untuk membincangkan isu-isu strategik yang bukan hanya memanfaatkan pembuat dasar, malah masyarakat secara keseluruhannya.

Siri Syarahan Felo Kehormat APM pada kali ini disampaikan oleh Felo Kehormat APM dan Penyandang Kusri Al-Ghazali (Epistomologi dan Pengajian dan Pembaharuan Ketamadunan) ISTAC-IIUM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. Kata alu-aluan pula disampaikan oleh Presiden APM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Saleh Jaafar.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar memberikan penjelasan makna dan istilah penting seperti wajah, insan, agama dan sains.

“Wajah dalam bahasa Melayu bermaksud muka atau rupa paras, tetapi dalam bahasa Arab, wajah tidak hanya membawa maksud muka, tetapi juga bermaksud diri. Wajah sebenarnya membawa maksud lambang diri, iaitu identiti seseorang.

“Istilah insan pula terbahagi kepada tiga definisi, iaitu linguistik, keagamaan dan saintifik atau falsafah. Begitu juga istilah sains, terbahagi kepada dua, iaitu sains moden yang merujuk kepada biologi evolusi yang diasaskan kepada teori Charles Darwin dan sains pramoden, khasnya sains Islam,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat tiga definisi insan dari sudut agama, iaitu teologi, psikologi atau antropologi ketuhanan dan kosmologi. Dari segi teologi, insan sebagai makhluk “teomorhis”, iaitu yang menyerupai sifat ketuhanan. Definisi ini berdasarkan sebuah hadis sahih daripada Rasulullah SAW yang bermaksud, “Allah SWT menciptakan Adam dalam bentuk-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Namun begitu, menurut ulama Islam kerohanian, bentuk yang dinyatakan dalam hadis tersebut bukanlah bermaksud dari segi jasmani, tetapi lebih kepada spiritual. Definisi ini merupakan definisi yang cukup penting kerana memberikan implikasi terhadap cara hidup manusia.

Keduanya, insan dari segi psikologi atau antropologi ketuhanan, iaitu insan sebagai makhluk yang pelupa berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi dia lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.” (Surah Taha 20:115).

Definisi insan dari segi kosmologi pula ialah insan sebagai alam semesta kecil atau istilah lainnya iaitu microsm dan al-‘alam al-saghir.

Seterusnya beliau menjelaskan, “Daripada pandangan sains moden, takrifan insan dibahagikan kepada pandangan arus perdana atau biologi evolusi, pandangan minoriti dan pandangan terbaru. Menurut pandangan arus perdana atau biologi evolusi, insan dilihat sebagai haiwan rasional yang mucul di bumi menerusi proses evolusi yang lama, tiada roh dan jiwa tetapi mempunyai akal dan minda. Pandangan minoriti pula menyatakan insan sebagai haiwan rasional yang dicipta oleh Tuhan, mempunyai roh, jiwa dan minda. Pandangan terbaharu dalam sains moden pula identiti insan terletak pada kualiti susunan genom-DNAnya yang membezakannya dengan genom spesies beruk.”

“Menurut pandangan sains Islam pula, insan sebagai haiwan rasional yang boleh mengenali Tuhan, mempunyai roh, jiwa dan akal. Pandangan ini adalah disebabkan ahli-ahli sains Islam mahu mencapai keharmonian antara agama dengan sains dan menerima pendapat antara satu sama lain,” jelasnya lagi.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berharap APM dapat menaja perbincangan tentang pandangan Islam terhadap gagasan terbaharu dalam sains moden yang menyatakan identiti insan ditentukan sepenuhnya oleh susunan genom dan DNAnya kerana pada pandangannya wajah insan dalam pandangan sains terkini masih kabur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.