10 Januari 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BESERI – Lokasi penempatan yang terletak di sempadan sesebuah negara walaupun terbukti mempunyai potensi ekonomi yang cukup besar dan strategik, tetap akan terdedah kepada pelbagai isu terlarang yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan barangan, hidupan dan manusia, selain masalah sosial biasa yang lain.

Namun begitu, perkara ini diyakini mampu diatasi dengan baik sekiranya warganya terus-menerus dibekalkan dengan ilmu, kesedaran, serta diterapkan dengan sahsiah dan moral yang tinggi di dalam diri. Oleh itu, situasi seumpama ini perlu diselesaikan dengan segera, berperancangan dan berintegriti supaya tidak mendatangkan impak negatif.

Setiap agensi dan organisasi hendaklah berkerjasama dengan kepimpinan setempat untuk memperhebat peranan masing-masing dengan menyalurkan maklumat, ilmu dan panduan kepada warga di setiap kawasan sempadan, khususnya kepada golongan remaja dan pelajar. Hal ini bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi prihatin yang tidak melanggar batasan agama dan undang-undang serta benar-benar mampu menyumbang ke arah kesejahteraan diri sendiri, agama, bangsa dan negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Al Ghofur, Padang Lati, Beseri. Keberangkatan baginda turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin juga amat berharap supaya kawalan sempadan negara akan terus dimantapkan lagi dari semasa ke semasa dengan menaik taraf prasarana sedia ada dan operasi keselamatan.

“Tidak dapat dinafikan bahawa keselamatan dan keamanan merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah negara,” titah baginda.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.