7 Januari 2022, 22:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam amat mengutamakan amanah. Untuk membangunkan tadbir urus yang beramanah, semua pihak yang telah diamanahkan dengan pelbagai jawatan, tugas dan tanggungjawab wajib memiliki dan mengamalkan budaya kerja yang bersih, jujur, tulus dan ikhlas.

Tahun 2021 memaparkan negara menghadapi empat krisis utama, iaitu krisis politik, krisis kesihatan, krisis ekonomi dan krisis alam sekitar dengan berlaku musibah banjir yang meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda pada skala yang besar. Pahit getir yang dialami sepanjang tahun 2021 wajib dijadikan iktibar serta dijadikan sebesar-besar pengajaran, khususnya kepada para pemegang amanah kepimpinan, ketika menggubal dasar dan memperkenalkan program untuk memulihkan kemakmuran negara dan mengembalikan nikmat kesejahteraan hidup rakyat.

Allah SWT telah melimpahkan pelbagai sumber kekayaan di bumi bertuah, bernama Malaysia ini. Perbuatan pecah amanah dan rasuah telah menjadi antara punca yang menyebabkan negara mengalami kegagalan dalam pelbagai dimensi, merangkumi kepimpinan, ekonomi, sosial, pendidikan, sains dan teknologi. Setiap perbuatan rasuah membawa kesan hiliran. Setiap perbuatan rasuah sudah cukup untuk merencatkan pelbagai sektor lain kerana setiap sektor saling berangkai dan saling berkait. Kegagalan negara mencapai wawasan murni seperti Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 bukan kerana kita kurang peluang dan sumber, tetapi kerana berlakunya ketirisan, disebabkan sifat pecah amanah dan perbuatan rasuah. Demikian juga, cabaran yang akan kita hadapi untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Malaysia mencapai 51 mata pada tahun 2020, berbanding dengan 53 mata pada tahun 2019, mengakibatkan Malaysia jatuh enam anak tangga, ke tangga ke-57 daripada 180 negara yang dinilai, dalam Indeks Persepsi Rasuah Tahun 2020. Dalam kalangan negara Islam, Emiriah Arab Bersatu dengan catatan 70 mata, berada di tangga teratas, iaitu pada tangga ke-21. Lebih separuh negara-negara Islam berada di tangga 20 paling bawah. Satu keadaan yang sangat janggal, kelihatan berlakunya jurang antara apa-apa yang dianjurkan oleh Islam dengan apa-apa yang diamalkan oleh ummah yang pada zahirnya menerima Islam sebagai pegangan akidah.

Laporan, tangkapan, dakwaan dan isu sepanjang tahun 2021 menunjukkan keadaan rasuah di negara kita mencapai tahap yang semakin parah. Adegan “suap” dan “terima”, dan suapan yang bertopengkan derma, hari ini seolah-olah perkara biasa, dilakukan tanpa ada rasa malu, dan tiada langsung menunjukkan sebarang ketakutan akan hari pembalasan di Padang Mahsyar.

Kebimbangan terhadap perlakuan pecah amanah dan rasuah semakin disuarakan.  Rakyat merasa semakin kecewa dan bertambah hilang keyakinan akan kesungguhan negara untuk membasmi rasuah. Rasuah dilihat semakin membarah, menjejaskan keyakinan pelabur, menyebabkan kurang peluang pekerjaan dan meningkatkan pengangguran, akibatnya rakyat semakin derita. Kini, sudah kedengaran suara yang mendesak agar negara menjatuhkan hukuman mati kepada pelaku rasuah.

Mengenakan hukuman mati bukan penyelesaian, jika hukuman tersebut hanya tinggal dalam bentuk tulisan di atas kertas. Negara sebenarnya memiliki peruntukan undang-undang yang cukup untuk mencegah dan membendung rasuah. Negara turut menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menangani rasuah. Walau bagaimanapun, usaha mencegah dan membendung rasuah tidak memberi erti dan tidak memberi makna, jika tidak ada kesungguhan di peringkat penguatkuasaan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman; apatah lagi jika imej dan reputasi SPRM kebelakangan ini turut tercalar, dengan adanya aduan dan laporan salah laku dalam kalangan para petugas di Suruhanjaya berkenaan, yang mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Kita memerlukan penyelesaian yang tegas dan tuntas untuk mencegah, membendung dan menghapus barah rasuah. Semua pihak, secara bersama, wajib mengambil langkah berani supaya berlakunya gerakan jihad memerangi rasuah, agar negara kembali dimakmurkan dan kehidupan rakyat kembali disejahterakan. Pemimpin, media, masyarakat dan rakyat wajib berganding bahu menghapuskan barah rasuah dengan tekad, azam dan kesungguhan memenuhi satu tuntutan fardu kifayah. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya), jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan demikianlah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim, no. 49).

Usaha menghapuskan rasuah memerlukan kesungguhan, tekad, kecekalan, iman yang kukuh dan takwa yang teguh untuk menjunjung amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT, yang mengatasi mana-mana kuasa manusia. Marilah kita berikrar dan berazam untuk sama sekali tidak akan bersekutu, tidak akan bersubahat, tidak akan membantu dan tidak akan melindungi pelaku rasuah dengan menginsafi peringatan Allah SWT melalui ayat 25 Surah al-Anfal:

Maksudnya: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi menimpa kamu secara umum), dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksa-Nya.

Dalam hasrat mahu membangunkan masyarakat yang beramanah, masyarakat diseru agar menggerakkan langkah-langkah berikut secara bersungguh-sungguh:

Pertama: Meningkatkan iman dan takwa, terutamanya kita yang telah diamanahkan dengan jawatan, tugas dan tanggungjawab, agar memiliki keinsafan dan mahu menegakkan kebenaran kerana lebih takut akan Allah SWT berbanding dengan takut akan kuasa-kuasa manusia di dunia.

Kedua: Meningkatkan usaha pendidikan, menyemai rasa jijik terhadap rasuah, bermula dari keluarga sejak anak masih berusia jagung dan diperkukuhkan ketika anak-anak berada di bangku sekolah.

Usaha meningkatkan pendidikan dan menyemai rasa jijik terhadap rasuah perlu bermula ketika anak-anak masih kecil.

Ketiga: Rakyat tidak cepat kecewa malah terus menjadi jurubicara dalam menyuarakan bantahan dan berani ke hadapan serta mengambil tanggungjawab untuk mendedahkan perbuatan rasuah.

Keempat: Kerajaan membuktikan kesungguhan mahu menghapuskan rasuah melalui tindakan-tindakan tegas lagi pantas tanpa pilih kasih dan tanpa gentar.

Masyarakat juga hendaklah sentiasa istiqamah berpegang kepada aqidah islamiah berteraskan aqidah ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama makhluk. Imarahkan rumah-rumah Allah SWT dengan mengerjakan ibadah dan solat fardu secara berjemaah. Basahi lidah dengan melazimkan zikrullah, serta selawat dan salam ke atas Baginda Nabi SAW.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 7 Januari 2022, “Azam Melaksanakan Tadbir Urus Beramanah”, Jabatan Agama Islam Perak)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.