Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
(Sumber gambar: Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Perlis)

Dengan limpah kurnia perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa COVID-19 selain peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan pengambilan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9 peratus (30 575 penerima), adalah didapati bahawa keadaan penularan wabak COVID-19 di negeri Perlis berada dalam keadaan terkawal.

Sehubungan itu, baginda telah mempertimbang dengan penuh hikmah dan teliti, serta menilai dengan penuh bijaksana dan berhati-hati, atas maksud menjalankan tanggungjawab baginda selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri, maka sukacita dihebahkan berkaitan kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh negeri Perlis berkuat kuasa pada waktu subuh, 8 Januari 2022 (Sabtu) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan yang berikut:

Amalan Merapatkan Saf

Jemaah yang hadir diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing berdasarkan syarat yang berikut:

(i) Saiz sejadah adalah standard; dan

(ii) Tidak berlaku sentuhan fizikal.

Walau bagaimanapun, jemaah yang tinggal serumah adalah diwajibkan merapatkan saf tanpa terikat dengan syarat-syarat seperti para satu di atas.

Pengekalan Sop Sedia Ada

Pada setiap masa, selain waktu menunaikan solat sama ada ketika selesai solat, ketika mendengar kuliah atau sepanjang tempoh berada di masjid, semua prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan hendaklah kekal dipatuhi. SOP berkenaan adalah seperti yang berikut:

(i) Kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

(ii) Memakai pelitup separuh muka [jemaah digalakkan menggunakan jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka (double face masks) serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield)].

(iii) Membawa sejadah sendiri bersaiz standard.

(iv) Mengambil wuduk sebelum ke masjid.

(v) Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.

(vi) Tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

Bersolat jemaah dengan merapatkan saf merupakan berita yang dinanti-nanti oleh rakyat.

Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap (sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas) dibenarkan hadir ke masjid.

Walaupun melengkapi semua syarat di atas, pegawai bertugas dan jemaah masjid kekal dilarang untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti yang berikut:

(i) Golongan yang berstatus orang dalam siasatan atau PUI (Person Under Investigation), orang dalam pengawasan atau PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

(ii) Golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, selesema dan sebagainya.

(iii) Selain itu, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuklah jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang dikuatkuasakan.

Masjid Terlibat

Semua masjid di seluruh negeri Perlis adalah tertakluk kepada arahan SOP ini, manakala surau atau tempat solat umum/awam kekal tidak dibuka. Larangan ini termasuk kepada agensi, institusi, parti, maahad tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Demikianlah titah perutusan Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs. Baginda berharap agar seluruh rakyat Perlis yang dikasihi sentiasa mematuhi segala SOP dan ketetapan yang telah diperkenankan ini. Nikmat kesihatan dan keselamatan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini haruslah disyukuri dengan kesungguhan mengimarahkan masjid selain meneruskan ikhtiar pencegahan penularan wabak COVID-19 dalam suasana norma dan kelaziman baharu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.