6 Januari 2022, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Persembahan Kutipan Wakaf Tunai untuk Masjid At-Taqwa, Kampung Alor Redis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pertubuhan Suara Sunnah Malaysia baru-baru ini.

Sumbangan kutipan wakaf tunai menggunakan platform “Toyyib-Pay” dalam talian berjumlah RM45 032 berkenaan dipersembahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Suara Sunnah Malaysia, Tuan Haji Syed Abu Bakar Syed Kamal Bahrin Jamalullail.

Dalam majlis tersebut, baginda mengajak seluruh umat Islam untuk memanfaatkan peluang melaksanakan ibadah wakaf selagi hayat masih ada. Baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah,

Selagi hayat dikandung badan, ibadah berwakaf harus diusahakan sebagai pelaburan akhirat yang berpanjangan dan berkekalan selain memberikan manfaat kepada ummah.

Terdahulu, Masjid At-Taqwa yang sebelum ini menerima musibah kebakaran berjaya mengumpulkan dana wakaf hampir RM1.8 juta yang akan digunakan untuk pelan baik pulih dan naik taraf masjid tersebut untuk jangka masa panjang, selain turut menerima peruntukan baik pulih daripada pihak kerajaan negeri dan persekutuan.

Turut serta dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang menyeru umat Islam mengambil langkah bijak dan berstrategi untuk melaksanakan ibadah wakaf yang mengalir bersama-samanya pahala yang berpanjangan. Menurut beliau, “Sebagai umat contoh, kita perlu melaksanakan ajaran agama yang sentiasa mengajar kita untuk berkorban dengan berkongsi rezeki demi memberikan manfaat kepada umat. Oleh sebab itu, banyak daripada ayat al-Quran yang menggandingkan pengorbanan harta dan jiwa untuk berjihad mempertahankan agama.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.