4 Januari 2022, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simpang Empat – “Budaya menjaga kebersihan ini sudah lama dilaksanakan oleh negara maju dan hal ini merupakan cerminan dan amalan dalam kehidupan masyarakat yang maju dan bermentaliti kelas pertama dalam tindakan.” Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Furqan, Kampung Bunga Emas, Simpang Empat bagi menyerahkan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs di Kampung Bunga Emas, Simpang Empat.

Menurut baginda lagi, kita perlu berpegang serta menerapkan  sifat yang begitu penting dalam diri, iaitu disiplin. Melalui disiplin inilah sesuatu perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna, teratur, berfokus serta kekal berterusan. Dalam urusan mengendalikan rumah mahupun tempat kerja, terutamanya apabila melibatkan aspek kebersihan, kita harus mempunyai disiplin yang tinggi dan perlu membiasakannya sehinggalah menjadi suatu amalan. Antara amalan yang perlu dibiasakan termasuklah sentiasa menyapu sampah walaupun tiada sampah yang jelas kelihatan pada mata kasar kita. Hasilnya kita masih akan dapat melihat sampah yang kecil terkumpul pada penyodok sampah berkenaan. Kita juga perlu mengelap habuk walaupun nampak bersih kerana habuk itu tetap ada dan wujud di sekeliling kita.

Tambah baginda lagi, setelah selesai menggunakan sesuatu ruangan, pastikan ruangan tersebut dikemaskan semula. Hal ini dapat mengelakkan sifat bertangguh untuk mengemas dan memastikan ruangan sentiasa kemas dan rapi. Selain itu, kita juga perlu memastikan sampah sentiasa dibuang apabila mendapati tong sampah sudah penuh, khususnya sampah yang melibatkan sisa makanan bagi mengelakkan bau yang busuk dan mengundang serangga perosak seperti tikus, lipas dan semut.

Baginda turut mengingatkan masyarakat supaya menjadikan aktiviti menyapu sawang atau sarang labah-labah pada siling atau bahagian yang tersorok di rumah mahupun di pejabat sebagai satu amalan. Pada masa yang sama, bilah-bilah kipas atau lampu yang tergantung juga perlu sentiasa dilap kerana kemudahan tersebut amat mudah diselaputi dan memerangkap debu. Tegas Tuanku Raja Muda yang sentiasa mahukan rakyat Perlis hidup bersih dan sejahtera:

Ingatlah bahawa kebersihan itu amat dituntut dalam agama Islam. Tidak semua perkara perlu dibayar terutamanya melibatkan kebersihan. Kadangkala, kehidupan berubah kerana tindakan daripada diri kita sendiri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.