1 Januari 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara kita serta warganya sedang diuji dengan musibah yang silih berganti. Belum pun reda menghadapi penularan wabak COVID-19, kini bencana banjir telah melanda beberapa kawasan di negara kita.

Firman Allah SWT dalam surah al-Taghabun, ayat 11:

Maksudnya: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Perkataan musibah berasal daripada bahasa Arab asoba yang bermaksud menimpa atau membinasakan. Musibah, menurut al-Quran pula ialah bentuk ujian dan teguran daripada Allah SWT, berlaku melalui bencana, kemarau, banjir, ribut, tanah runtuh, kehilangan harta dan pelbagai lagi. Islam mentakrifkan musibah sebagai satu bentuk ujian yang ditimpa ke atas manusia agar manusia menginsafi kewujudan Allah SWT; bermakna musibah secara hakikatnya ialah ujian dan teguran Ilahi agar melahirkan keinsafan untuk mengembalikan manusia agar mengenali kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa.

Orang beriman dianugerahkan dengan dua sifat mahmudah yang senada dengan fitrah keimanannya, iaitu syukur dan sabar. Baginda Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Sungguh ajaib urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusan baginya ada kebaikan, dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan, lalu dia bersyukur, maka kebaikan baginya, dan apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar, maka kebaikan baginya. (Riwayat Muslim, no. 2999)

Saudara-saudara kita telah diuji dengan musibah banjir. Mereka kehilangan rumah, harta benda, sumber pendapatan, tanaman dan ternakan, malah ada yang kehilangan nyawa serta ahli keluarga yang dikasihi. Semoga mereka yang sedang menghadapi pahit getir ujian banjir, dikurniakan kesabaran, ketabahan, kegigihan dan kekuatan melalui detik-detik ujian yang berat ini.

Melalui media, terutama saluran media sosial, kita dapat mengikuti pengalaman dahsyat dan ngeri yang dialami oleh mangsa banjir. Rintihan dan tangisan kesengsaraan mangsa banjir, terutama orang tua, kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang sedang mendakap bayi yang memerlukan susu, yang berada dalam kesejukan di atas bumbung bangunan, sangat menyayat hati. Mangsa banjir ini, amat wajib dihulurkan pertolongan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Barang siapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya di dunia dan di akhirat. (Riwayat Ibnu Majah, no. 2417)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-219, bertarikh 31 Disember 2019, telah memperakukan ketetapan bahawa mereka yang ditimpa musibah, boleh dibantu menerusi Skim Bantuan Bencana, di bawah asnaf Fi-Sabilillah. Selaras dengan ketetapan ini, masyarakat Islam diberi ruang yang selaras dengan seruan agama, untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab membantu mereka yang ditimpa musibah.

Musibah banjir, bukan sahaja merupakan ujian Allah SWT kepada hamba-Nya yang dilanda banjir, malah Allah juga sedang menguji kalangan kita yang berada dalam kesenangan. Sewajibnya, kita yang terselamat daripada musibah banjir menzahirkan rasa syukur yang setinggi-tingginya, dengan bertekad untuk membantu mereka yang sedang berada dalam kesusahan, melalui amalan dan tindakan seperti yang berikut:

Pertama: Menginsafi kekerdilan diri bahawa musibah merupakan ujian dan peringatan Ilahi yang boleh menimpa sesiapa sahaja.

Kedua: Memohon doa agar Allah SWT menggantikan apa-apa juga kehilangan yang dialami oleh mangsa banjir, akan digantikan dengan gantian yang lebih baik.

Ketiga: Menzahirkan simpati dengan kata-kata yang dapat menenangkan hati mereka dan menggerakkan tindakan yang dapat meringankan beban tanggungan mereka.

Keempat: Membantu mereka dengan menghulurkan bantuan semampu mungkin, baik dalam bentuk perkhidmatan, tenaga, kewangan, makanan, ubat, peralatan rumah dan sebagainya. Insaflah! Ramai dalam kalangan kita yang memiliki pakaian di dalam almari yang lebih cukup daripada keperluan harian, begitu juga peralatan seperti selimut, bantal, tilam, periuk dan kuali, pinggan mangkuk, senduk dan sudu, dan pelbagai barangan rumah yang boleh kita hulurkan kepada mereka yang sangat memerlukan.

Kelima: Mencerminkan nilai Islam berteraskan sifat insaniah sejagat, dengan menghulurkan bantuan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan ideologi politik.

Masjid dan surau di seluruh negeri Perak telah menubuhkan Tabung Bencana dan Kemanusiaan. Bermula solat Jumaat pada 24 Disember, tabung telah berjaya mengumpulkan sumbangan mencecah RM306 000. Semoga para jemaah akan terus bersedekah, berwakaf, berinfak dan berzakat, malah melipatgandakan sumbangan untuk membantu saudara kita yang telah ditimpa musibah.

Jabatan Agama Islam Perak mengucapkan terima kasih atas pengorbanan dan kesediaan sebahagian daripada masyarakat yang turun padang membantu mangsa banjir. Begitu juga kepada mereka yang telah memberikan pelbagai sumbangan berbentuk idea, perkhidmatan, tenaga, harta, wang ringgit serta sokongan moral. Masyarakat juga dinasihati agar menghulurkan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas dan niat yang suci semata-mata kerana Allah SWT. Hindari perbuatan menunjuk-nunjuk, melakonkan perbuatan untuk dirakam oleh jurufoto, dengan niat mendapat siaran media atau hasrat mendapat pujian, hingga mengakibatkan kita bakal tergelincir ke arah bersifat riak. Sedarilah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Melihat.

Musibah merupakan cara Allah SWT menyampaikan teguran. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 41:

Maksudnya: Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Semoga musibah banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di negara kita, turut ditafsirkan sebagai teguran daripada Ilahi, untuk kita secara ikhlas melakukan pemeriksaan diri, dan berani mengakui kesilapan yang mungkin telah kita lakukan, atau kesilapan yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita, ketika diamanahkan tanggungjawab untuk menguruskan bumi, gunung, hutan, sungai, tasik dan pantai. Lakukanlah langkah-langkah pembetulan agar orang yang tidak berdosa, terhindar daripada menjadi mangsa kepada bencana yang lebih besar pada masa akan datang.

Masyarakat juga diseru untuk tetap berpegang teguh kepada akidah Islamiah berteraskan ahli sunah wal-jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin, hingga ke hari ini. Jagalah hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 31 Disember 2021, “Musibah Banjir: Ujian dan Peringatan Ilahi”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.