Oleh Rosmani Omar
1 Januari 2022, 18:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-60 dan penutup bagi tahun 2021 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Alwi, Kangar pada petang semalam berkenan menyerahkan RM21 000 sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada amil kariah masjid berkenaan, Ustaz Ismail Hashim, untuk diagihkan kepada seramai 30 orang asnaf terpilih. Daripada sumbangan tersebut, penerima masing-masing menerima RM700 setiap seorang.

Bagi memastikan segala urusan yang dirancang berjalan dengan lancar, MAIPs turut menempatkan wakil-wakilnya dalam komuniti masyarakat seperti amil di 102 kariah selain “Guru Muraqib Amil” di semua sekolah dalam negeri ini termasuklah wakil-wakil di institusi pengajian tinggi seluruh Perlis.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, MAIPs mempraktikkan budaya “menyantuni” masyarakat bagi mendekati golongan sasar dan mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan dengan isu yang dihadapi oleh mereka. MAIPs terus komited melipatgandakan usaha bagi mengamalkan budaya “turun padang” dalam menjayakan segala inisiatif yang dirancang.

Tambah beliau,

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pandemik COVID-19, namun sepanjang tahun 2021, Tuanku Raja Muda telah berkenan mengetuai sendiri sebanyak 60 kali kayuhan yang melibatkan 1530 asnaf disantuni dengan sumbangan sebanyak RM1.071 juta telah diagihkan melalui program ini sahaja.”

“Semenjak pelaksanaan program Kayuhan MAIPs Peduli diadakan bermula 2013, sebanyak 704 kali kayuhan telah dilaksanakan oleh baginda yang turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dan juga pihak swasta yang memberikan manfaat kepada sebanyak 36 310 penerima asnaf dan melibatkan jumlah sumbangan sekitar RM22 897 200.

Semasa Kayuhan MAIPs Peduli, baginda juga singgah menyantuni Zambree Bulat, Zainab Salim dan Fatorini Keria di kawasan tersebut. Selain itu, baginda serta seluruh peserta singgah di Tanah Perkuburan Kg Tok Paduka Kangar bagi menziarahi pusara seorang daripada ahli kayuhan TTG Perlis, iaitu Allahyarham Ahmad Rizuan Abdul Rani yang baru sahaja kembali ke rahmatullah pada 29 Disember baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.