30 Disember 2021, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hassan al-Banna dalam wasiat sepuluhnya ada menyatakan bahawa, “Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.”

Sejak awal kedatangan Islam di alam nusantara, bahasa Arab begitu dekat di hati orang Melayu. Sedar atau tidak hampir setiap hari kita akan mendengar dan bertutur dalam bahasa Arab. Hal ini dikatakan demikian kerana perbendaharaan kata bahasa Melayu yang berasal dari bahasa Arab cukup banyak, iaitu sekitar 2000 hingga 3000 perkataan. Jika diimbas, permulaan pendidikan bahasa Arab di Tanah Melayu muncul sebelum abad ke-14 lagi dan kemuncaknya adalah pada era kegemilangan kerajaan Melaka.

Perkembangan bahasa Arab dan peredaran masa telah menempatkan bahasa al-Quran ini sebagai salah satu bahasa utama dunia. Malaysia juga telah mengorak langkah dengan memperkenalkan mata pelajaran bahasa Arab secara formal pada semua peringkat pendidikan. Selain pembelajaran bahasa Arab secara formal di sekolah dan universiti, pembelajaran bahasa Arab boleh dicapai melalui pelbagai medium seperti rancangan Hayya Bil Arabiah di radio IKIM, pembelajaran secara dalam talian, kuliah lughah di masjid dan kelas hujung minggu. Hal ini jelas membuktikan bahawa pendidikan bahasa Arab di Malaysia merupakan suatu yang bersifat dinamik dan sentiasa berkembang.

Bahasa Arab menjadi bahasa perpaduan dan penyatuan bangsa malah bahasa ini telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi kelima Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1973. Selain itu, bahasa Arab juga digunakan sebagai bahasa rasmi   bagi Organisasi Perpaduan Afrika (OAU), Liga Dunia Islam (Rabithah Alam Islami), dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang terdiri daripada 45 buah negara Islam. Melalui medium bahasa Arab, negara Islam di seluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani anasir negatif yang boleh mengganggu gugat kestabilan Islam.

Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar ilmu bahasa (linguists), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Menurut catatan sejarah, bahasa Arab  yang merupakan bahasa falsafah dan sains sebagai pengganti bahasa Latin. Pernahkah kita mendengar kisah The Court of The Lions yang dibina pada abad ke-14? Ciptaan ini merupakan pancuran air berteknologi tinggi tanpa menggunakan mesin yang dibina oleh jurutera Islam untuk kegunaan berwuduk. Pancuran air ini keluar dari mulut singa mengikut waktu solat. Pancuran ini terhenti ketika Sepanyol menggali dan membuka pancuran tersebut untuk mengetahui rahsia teknologi berkenaan. Namun begitu, usaha tersebut tidak berjaya malah menyebabkan pancuran air tersebut terhenti. Jurutera moden cuba untuk membaikinya, tetapi tidak mampu hingga terpaksa membaca cetak biru pancuran air yang berupa manuskrip arab dengan gaya syair. Disebabkan lemahnya mereka menguasai bahasa Arab dan sistem kejuruteraan zaman dahulu, sehingga kini pancuran air tersebut tidak dapat berfungsi seperti sistem asal dan hanya memakai mesin untuk mengeluarkan air.

Pengetahuan dalam bahasa Arab membolehkan kita memahami maksud yang terkandung dalam setiap ayat al-Quran yang dibaca.

Seseorang yang mampu menguasai bahasa Arab bukan sahaja dapat memahami karya-karya dan manuskrip agung zaman kebangkitan Islam dahulu, bahkan juga akan memudahkan kita mendalami inti pati dan pengertian al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Seperti yang kita tahu, bahasa al-Quran memiliki kemampuan menampung makna dan pesan wahyu Ilahiyyah yang sangat luas dan kaya dengan aspek seperti fonologi, sintaksis, semantik dan pragmatik. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik dan komprehensif dalam membentuk individu yang versatil dalam menangani survival semasa umat Islam.

Kemahiran berbahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan dalam solat, doa, wirid, zikir dan sebagainya. Sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh-puluh tahun mengamalkannya. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat yang tidak kreatif, kurang dinamik dan “pak turut”, menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua.  Oleh sebab itu, tidak perlu diragukan lagi. Seharusnya bagi seorang Muslim, hendaklah mengasihi dan mencintai bahasa Arab malah berusaha untuk menguasai asas kemahiran yang ada dalam ilmu tersebut. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam surah Asy-Syu’ara ayat 192 hingga 196 yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Pencipta semesta alam yang dibawa turun oleh Ar-ruh Al-Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.”

Anjakan kedua dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris supaya murid dibantu menyertai tenaga global. Bahasa Arab ditawarkan kepada murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Sekolah Kebangsaan (SK) melalui Program j-QAF dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang melaksanakan Kelas Aliran Agama (KAA).

Pemerkasaan bahasa Arab diteruskan dengan kewujudan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) yang telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar utama dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Tambahan lagi, kurikulum al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) yang menggabungkan tiga komponen pengajian, iaitu tahfiz, sains dan turath. Ini antara usaha KPM dalam memberikan nilai tambah kepada murid bagi meningkatkan kualiti kemahiran komunikasi dan berbahasa serta mampu memahami kitab karya bahasa Arab dengan baik di peringkat sekolah lagi. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang yang luas kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi dalam bahasa Arab di universiti terkemuka dunia seperti di Mesir, Jordan, Madinah, Morocco dan lain-lain negara yang menawarkan pengajian bahasa Arab.

Iklim arabiyyah wajar diwujudkan di persekitaran sekolah khususnya sekolah yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Arab.

Persepsi bidang bahasa sukar untuk mendapat tempat pekerjaan, tidak produktif, kurang praktikal dan ketinggalan zaman adalah gambaran yang tidak tepat dan tanggapan seperti ini perlu diperbetulkan. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar yang mengikuti pengajian bahasa Arab mempunyai potensi dan prospek yang luas dalam pasaran kerja global. Umumnya, pasaran kerja bidang bahasa masih terbuka luas kerana bidang ini begitu unik, konstruktif dan relevan dengan realiti pekerjaan dan perkhidmatan semasa.

Melihat kepada kehebatan bahasa Arab, potensi dan prospek  yang dinamik dalam bidang pendidikan dan kerjaya, maka pihak sekolah hendaklah memainkan peranan dalam memastikan iklim arabiyyah itu berlaku dalam persekitaran sekolah khususnya sekolah yang menawarkan mata pelajaran Bahasa Arab. Ibu bapa dan pemain industri berkaitan bahasa Arab termasuk ahli politik juga harus berperanan memberi sokongan moral kepada anak-anak dan orang awam untuk mempelajari bahasa Arab secara konsisten. Siapa lagi jika bukan kita sebagai umat Islam yang bertanggungjawab membangkitkan roh bahasa Arab ini.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!