29 Disember 2021, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dakwah merupakan penyampaian maklumat yang membawa kepada kebaikan dan mencegah diri daripada melakukan kemungkaran. Terdapat pelbagai strategi atau kaedah untuk berdakwah dan salah satu caranya ialah melalui penulisan. Hal ini, dapat dibuktikan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat satu yang bermaksud, “Nun. Demi pena dan apa yang mereka tulis.” Demikian yang dinyatakan oleh Ustaz Ruzain Syukur Mansor sebagai pembuka bicara dalam sesi Bicara Karyawan Majalah Dewan Tamadun Islam; Dakwah Melalui Tulisan hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan potongan ayat tersebut, jelas membuktikan bahawa sesuatu dakwah (penyampaian ilmu) itu  boleh juga dilakukan melalui penulisan dan bukan hanya terikat kepada kaedah pengucapan lisan semata-mata. Jika dilihat dengan teliti, firman tersebut juga menjelaskan fungsi sebenar sesebuah penulisan yang bertujuan untuk menyampaikan ilmu, memberi nasihat dan kesedaran untuk menarik minat khalayak melakukan kebaikan. Sebagai contoh, melalui pembangunan komunikasi yang semakin canggih, masyarakat kini boleh menyebarkan dakwah melalui penulisan hanya dengan menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit atau di media sosial masing-masing.

Penulisan dakwah mengandungi pendekatan yang pelbagai dapat memberikan impak yang lebih efektif dan efisien kepada para pembaca. Lantaran itu, para penulis digalakkan untuk menghasilkan penulisan melalui pendekatan yang pelbagai demi keberkesanan penyampaian sesebuah dakwah. Sebagai contoh, dalam sesebuah penulisan karya kreatif dan fiksyen seperti  cerpen, novel dan puisi, penulis boleh mengambil peluang ini untuk menerapkan unsur kerohanian untuk menerapkan elemen dahwah dalam penulisannya.  Keadaan ini, secara tidak langsung dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca sekali gus dapat memberikan impak yang postif  untuk terus melakukan kebaikan.

Selain itu,  Ustaz Ruzain turut menyatakan bahawa terdapat empat pengaruh penting untuk menarik minat pembaca terhadap karya penulisan dakwah seseorang. Empat pengaruh yang dimaksudkan termasuklah,

1. Pengaruh Maklumat

Pengaruh maklumat dalam sesuatu karya penulisan dakwah merujuk kepada maklumat yang baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana, maklumat baharu dalam sesuatu ilmu dapat mengekalkan minat para pembaca kerana penting bagi penulis memberikan maklumat yang belum diketahui oleh khalayak pembaca. Di samping itu, pengaruh maklumat dalam penulisan dakwah juga merujuk kepada kesesuaian pemilihan maklumat yang selari mengikut pemahaman pembaca sasaran. Sebagai contoh buku dakwah yang hendak disasarkan kepada golongan remaja, perlu diletakkan fakta maklumat yang sesuai dengan tahap pemikiran golongan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika diletakkan fakta maklumat pada aras yang terlalu tinggi akan menyebabkan pembaca remaja tersebut tidak memahami mesej yang hendak disampaikan. Akibatnya, pembaca  tidak lagi berminat untuk terus membaca penulisan dakwah tersebut.

2. Pengaruh Kepakaran

Aspek pengaruh kepakaran dalam penulisan dapat membina kepercayaan pembaca terhadap penulis. Penulis yang berkemahiran tinggi dan pakar terhadap bidang yang ditulis akan menjamin kepada penyampaian maklumat yang berinformatif.

3. Pengaruh Keserupaan

Aspek keserupaan dalam penulisan adalah apabila maklumat yang disampaikan itu serupa dengan pengalaman penulis dan kehendak pembaca. Sebagai contoh, ketika musim banjir pada waktu ini, penulis yang berpengalaman melalui peristiwa banjir  akan mengambil pendekatan menulis tentang pengalaman yang dilalui seterusnya menyelitkan pesanan dakwah bagi memberi semangat kepada pembaca, khususnya mangsa banjir agar reda dengan ujian yang menimpa mereka dan mengajak pembaca untuk mencari hikmah di sebalik musibah yang diturunkan oleh Allah SWT. Tidak terkecuali ada juga penulis yang menulis tentang petua dan persediaan menghadapi situasi banjir yang sememangnya menarik pembaca untuk untuk membaca tulisan tersebut.

4. Pengaruh Tindak Balas

Pengaruh tindak balas dapat dilihat melalui budaya penulis yang memberikan tindak balas secara aktif kepada para pembacanya. Contohnya, penulisan yang melampirkan ruangan soal jawab antara pembaca dan penulis. Hal ini dapat menimbulkan nilai penghargaan buat diri pembaca kerana soalan yang bermain-main dalam minda mereka dijawab oleh penulis.

Untuk menjadi seorang penulis dakwah yang baik,  penulis perlu konsisten dan perlu mengikuti trend semasa dari segi bentuk penulisan yang digemari oleh para pembaca, sama ada dalam bentuk penulisan cerpen, novel, lirik lagu dan sebagainya. Keadaan ini dapat membantu menarik minat pembaca untuk terus kekal membaca genre penulisan dakwah. Walaupun sukar untuk seseorang penulis dakwah itu memahami perubahan minat atau perubahan trend semasa para pembaca, namun seseorang penulis itu perlu tetap cekal berusaha menangani cabaran ini. Misalnya, penulis boleh merujuk para editor dan pemilik kedai buku berkaitan bentuk penulisan yang laris dijual di pasaran untuk mengesan perubahan minat pembaca.

Karya kita, nisan kita di dunia dan teman kita di alam fana. Penulisan yang baik dan berfaedah akan sentiasa bermanfaat walaupun setelah kematian kita kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana penulisan yang baik akan sentiasa diingati dan dikenali oleh khalayak yang diibaratkan seperti batu nisan, iaitu manusia mengenali si mati dengan nama yang tertulis pada batu nisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.