Oleh Rosmani Omar
24 Disember 2021, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar-Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengingatkan umat Islam di Perlis agar menunaikan kewajipan solat Jumaat. Solat Jumaat mempunyai banyak fadhilat kepada umat dan merupakan satu daripada cara untuk menghapuskan dosa.

Keingkaran menunaikan solat Jumaat adalah termasuk dalam kesalahan jenayah dalam syarak yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Semasa melaksanakan solat Jumaat, semua khatib dan pengurusan masjid di Perlis diarahkan untuk melaksanakan doa keselamatan dan kesejahteraan menerusi khutbah Jumaat pada hari ini kepada rakyat yang berhadapan dengan bencana terutamanya mangsa banjir. Perkara ini selaras dengan amalan yang bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.

“Adalah menjadi harapan agar segala musibah dan ujian bencana yang sedang dihadapi di seluruh negara akan segera pulih dan keadaan akan menjadi baik seperti sediakala. Amalan berdoa yang akan dilaksanakan oleh khatib seluruh negeri adalah sebahagian daripada usaha sebagai hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada pertolongan-Nya”

Menurut sebaran media yang dikeluarkan oleh MAIPs, sejajar dengan irsyad dan nasihat Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, semua masjid di Perlis diselaraskan untuk membaca doa khusus ketika khutbah jumaat pada hari ini.

Semasa berhadapan dengan bencana yang dihadapi kini seperti banjir dan tanah runtuh, MAIPs juga menyeru pemimpin dan seluruh rakyat agar memperteguh ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Selain itu, seluruh umat Islam hendaklah sentiasa berusaha melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan serta larangan-Nya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.