18 Disember 2021, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Amanah ialah satu daripada sifat Nabi Muhammad SAW dan merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam sama ada sebagai hamba Allah, terhadap diri sendiri atau terhadap orang lain. Hal ini sangat penting kerana terdapat umat Islam yang menjaga hubungan sesama manusia tetapi lupa tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT. Umat Islam hari ini hilang sifat amanah disebabkan pengabaian hubungan dengan Allah.

Demikian peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan dalam Sesi Perkongsian Ilmu yang bertajuk “Setiap Sen adalah Amanah” di Dewan Bahasa dan Pustaka secara dalam talian, semalam.

Ada orang yang melakukan kerja dengan penuh integriti, tetapi dia lupa integriti dia dengan Allah SWT. Oleh sebab itu, perkara pertama yang perlu dijaga ialah amanah dan tanggungjawab kita terhadap Allah SWT. Apabila kita menjaga Allah, maka Allah akan menjaga kita. Maka itu, kita akan terselamat daripada segala bentuk fitnah di muka bumi ini,

“Setiap anggota badan kita juga adalah amanah. Pada hari kiamat mulut kita akan dikunci, dan seluruh anggota badan yang lain menjadi saksi atas setiap perkara yang dilakukan semasa di dunia. Oleh itu, setiap perkara yang kita lakukan melibatkan amanah Allah yang kita kena jaga.

Menurut Ustaz Dr. Mohamad Hadi lagi, apabila doa seseorang itu tidak dimakbulkan, maka perlulah diperiksa sumber setiap sen yang mereka peroleh kerana sumber yang haram dan syubhah boleh menyebabkan hati manusia menjadi keras. Jika sumber tersebut bercampur antara yang halal dengan syubhah, maka dia perlu segera bertaubat. Begitu juga jika diperoleh daripada sumber yang haram.

Dalam perkongsian tersebut, beliau memberikan 13 akibat orang yang pecah amanah, iaitu:

1.  Akan hilang keimanan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

2. Tergolong dalam golongan orang munafik kerana sifat orang munafik, apabila bercakap dia selalu berbohong, apabila berjanji dia ingkar, dan apabila diberikan amanah dia khianat. Kedudukan orang munafik adalah di dalam neraka yang paling bawah.

3.  Menjadi orang yang rugi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Empat perkara jika ada di dalam diri, kamu tidak akan rugi walaupun kamu tidak ada dunia, iaitu menjaga amanah, berkata dengan jujur, berakhlak yang mulia, menjaga makanan daripada perkara haram.”

4.  Tidak akan dipercayai.

5. Akan mendapat laknat Allah. Allah melaknat Bani Israel kerana mereka tidak memegang amanah. Apabila Allah melaknati seseorang, maka tidak akan ada kebahagiaan dan kerahmatan dalam hidupnya.

6.  Mendapat penderitaan di akhirat.

7.  Akan dimalukan di akhirat nanti. Allah SWT menutup aib setiap hamba-Nya supaya mereka bertaubat. Akan tetapi, orang yang pecah amanah akan dibuka aib dan dimalukan di akhirat nanti dengan memegang bendera pengkhianat.

8.  Menjadi pengkhianat kepada Allah dan rasul. Apabila Allah dan rasul dikhianati, maka tidak ada kebaikan yang kita akan diperoleh dalam hidup.

9.  Akan dibenci oleh Allah SWT.

10. Hati menjadi keras.

11. Menjadi calon penghuni neraka

12. Tidak akan mendapat pertolongan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Pertolongan Allah tetap berada pada dua orang yang bersekutu selama kedua-duanya saling tidak mengkianati.”

13. Akan dihumban ke dalam neraka.

Selain itu, Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi turut menekankan tentang dua golongan yang diselamatkan oleh api neraka, iaitu al-sahl (orang yang memudahkan urusan orang lain) dan al-qarib (orang yang menganggap semua orang dekat atau rapat dengannya).

“Setiap sen adalah amanah, dan kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap sen tersebut sama ada diperoleh secara halal ataupun haram. Semuanya akan ditanya oleh Allah SWT. Oleh sebab itu jagalah amanah, integriti dalam usaha kita hendak mencari harta yang halal, dan selepas mendapat harta yang halal jangan pula berlagak sombong kerana semua rezeki itu adalah daripada Allah SWT,” tegas beliau memberikan peringatan.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.