Oleh Qowariro Nabihah
16 Disember 2021, 13:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap insan yang beriman pasti memiliki hati, sama ada hati yang hidup mahupun hati yang mati. Hati yang hidup bermaksud hati yang membenci segala kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah SWT, manakala hati yang mati pula bermaksud hati yang tidak dapat membezakan antara kebaikan dengan keburukan.

Perkataan hati berasal daripada istilah bahasa Arab, iaitu qalbun yang bermaksud jantung. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat hati didefinisikan sebagai organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan pada bahagian sebelah kanan badan yang berfungsi mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menyembuhkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.

Imam al-Ghazali pula mendefinisikan qalbun sebagai tempat yang berfungsi untuk menyerap ilmu pengetahuan atau yang disebut sebagai sesuatu yang halus (latifah). Selain itu, hati juga merupakan tempat (ruang) di mana sesuatu ilmu dapat melekat padanya. Sesuatu yang halus tidak dapat diselami oleh akal dan fikiran manusia kecuali dengan merujuk al-Quran dan sunah supaya menjurus ke arah kebenaran Allah SWT.

Hati merupakan elemen kejiwaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT menciptakan hati bukan untuk disia-siakan, tetapi untuk digunakan sebaik mungkin supaya hati itu sentiasa mendekati Allah SWT. Menurut Imam al-Ghazali, matlamat utama Allah SWT mencipta hati bagi hamba-Nya adalah untuk menerima dan memahami ilmu dan kebijaksanaan. Ilmu merupakan perkara yang penting bagi umat Islam. Oleh sebab itu, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan tuntutan supaya menuntut ilmu dengan membaca. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!” (Surah al-‘Alaq 96:1).

Perbahasan tersebut jelas membuktikan bahawa apabila seseorang itu berilmu dengan ilmu agama yang benar, maka kedudukannya di sisi Allah SWT sudah pasti berbeza dengan mereka yang tidak memiliki ilmu. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu dapat meningkatkan ketakwaan seseorang kepada Allah SWT dan membawa keseimbangan antara hubungan manusia dengan alam sekeliling. Oleh hal yang demikian, kesan ilmu  terhadap seseorang mampu membersihkan hati daripada perkara yang keji, menjernihkan fikiran, membezakan perkara yang baik dengan yang buruk, serta memberikan petunjuk ke arah jalan yang diredai Allah SWT.

Ciri-ciri Hati yang Hidup

Seronok melakukan ketaatan

Antara tanda seseorang itu telah mendapat kemanisan iman termasuklah perasaan senang hati dan seronok untuk melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Kemanisan iman akan membuatkan seseorang itu istiqamah untuk sentiasa melaksanakan ibadat seperti solat (wajib dan sunat), berpuasa, membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan menjauhi segala kemungkaran serta kemaksiatan. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, dia merasai kemanisan iman, iaitu; sesiapa yang cintanya kepada Allah dan rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, sesiapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan dia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api neraka”.  (Hadis riwayat Muslim).

Sensitif dengan perkara kemaksiatan

Sensitif dengan perkara kemaksiatan bermaksud seseorang yang menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar dalam diri mereka. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a. berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah”.  (Hadis riwayat Muslim).

Sensitif dengan kemaksiatan juga mempunyai hubungan rapat dengan persoalan hati. Apabila seseorang itu mempunyai hati yang bersih dan sentiasa menjaga keikhlasannya dengan Allah SWT, maka hatinya akan sentiasa dikurniakan petunjuk oleh Allah SWT.

Menjauhi segala maksiat batin

Menjauhi maksiat batin (dosa berkaitan dengan hati) juga penting. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa musuh bagi hati manusia ialah syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bukankah aku telah memerintahkan kepadamu wahai Bani Adam  supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.” (Surah Yaasin 36:60).

Berdasarkan maksud ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya menjaga diri dan hati daripada godaan hasutan syaitan. Untuk menjaga dan memelihara hati daripada tipu daya syaitan, maka kita perlu menjauhi maksiat batin (dosa hati). Imam al-Ghazali dalam kitab karangan beliau berjudul Hidayah al-Salikin menyatakan bahawa maksiat batin bermaksud segala perangai kejahatan dan sifat tercela yang terdapat di dalam hati. Menurut Imam al-Ghazali juga, terdapat sepuluh perbuatan yang berkaitan dengan maksiat batin, iaitu sangat gemar makan dan minum berlebih-lebihan, suka bercakap perkara yang sia-sia, marah, dengki, kikir dan sayang akan harta benda, suka kepada kemegahan, cinta akan dunia, sombong, berbangga diri dan riak.

Imam al-Ghazali juga berpandangan bahawa tiga perkara yang berkaitan dengan maksiat batin, iaitu riak, bangga diri dan dengki merupakan ibu segala kejahatan dalam hati dan padanya terdapat suatu perasaan yang hidup, iaitu rasa cinta akan dunia. Walau bagaimanapun, dunia juga merupakan bendang untuk mengumpul bekalan menuju akhirat kelak. Oleh hal yang demikian, seharusnya kita berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan segala kemaksiatan bagi meraih keredaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak.

 Sentiasa mengingati mati

Dunia yang kita kecapi dengan pelbagai nikmat merupakan medan percaturan untuk mengumpul bekalan ke alam selepas mati. Namun begitu, ramai yang berlumba-lumba mengejar dunia seolah-olah dunia ini akan kekal selama-lamanya, sehingga lupa bahawa akhirat tempat kembalinya manusia. Natijahnya, telah banyak masa dan usia dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (Surah Ali ‘Imran 3:185).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika diingati dan direnungkan pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang, dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.”  (Hadis riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).

Jelaslah bahawa dengan mengingati akan tiba waktu kematian akan dapat memutuskan rasa kenikmatan dunia yang fana ini daripada sifat tamak dan panjang angan-angan.  Panjang angan-angan dan cinta akan dunia akan menyebabkan kita lupa bahawa akhirat merupakan tempat kembali. Di samping itu, dengan mengingati mati juga akan membuatkan hati kita tenang dan melahirkan rasa keinsafan dalam diri. Hal ini bertepatan dengan hadis riwayat al-Baihaqi yang bermaksud, “Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat bertanya, ‘Apakah penggilapnya wahai Rasulullah?’ Rasulullah menerangkan, ‘Membaca al-Quran dan mengingati mati.’”

Oleh itu, setiap Mukmin yang beriman digalakkan untuk sentiasa berdoa agar dikurniakan petunjuk oleh Allah SWT dalam kehidupan ini. Dengan  mendapat petunjuk daripada Allah SWT, maka sudah pasti kita akan dikurniakan hati yang sentiasa hidup. Di samping itu juga, kehidupan kita akan mendapat keredaan-Nya di dunia mahupun di akhirat. Semoga kita dikurniakan taufik, rahmat dan keberkatan oleh Allah SWT dalam kehidupan yang sementara ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.