Oleh Deeya Aqilah
16 Disember 2021, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan tambahan berupa bekas ais (ice box) kepada Zulkifli Jusoh, 60 tahun yang merupakan penerima sumbangan modal “Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs” di rumahnya di Kampung Alor Ara dekat Arau, semalam. Zulkifli sebelum itu menerima sumbangan modal bernilai RM2510 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membeli sebuah mesin minuman tebu melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Beliau yang tinggal bersama-sama anaknya sekeluarga seramai enam orang itu berharap agar sumbangan yang diterima dapat menampung kehidupan seharian, serta dapat menggandakan hasil pendapatannya demi memberikan pendidikan sempurna kepada cucu-cucunya hingga ke menara gading suatu hari nanti.

Raja Muda Perlis menyampaikan sumbangan tersebut sempena program ‘MAIPs Peduli Khas COVID-19 Bilangan ke-55 bagi tahun 2021. Terdahulu, baginda yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih, iaitu Azmi Talib, Muhamad Azuan Azuzin dan Pah Rejab bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs. Masing-masing menerima wang berjumlah RM700, sekotak “Kit MAIPs Peduli” dan beras fidyah, di samping beberapa kotak pelitup separuh muka daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Menurut Tuanku Raja Muda, wabak yang melanda dunia ini secara umumnya telah memberikan kesan besar terhadap ekonomi, kesihatan, mental dan kebajikan rakyat khususnya kepada golongan asnaf. Oleh itu, MAIPs akan terus berusaha memberikan perhatian serius melalui pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan bagi meringankan beban hidup mereka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.