13 Disember 2021, 22:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Integriti dan rasuah sudah tidak dapat dipisahkan. Apabila berbicara tentang integriti, sudah pasti hal ini akan dikaitkan dengan isu rasuah. Secara umum rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan, atau rasuah dengan tujuan supaya seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menyatakan bahawa rasuah menyebabkan hak seseorang dinafikan dan akan meruntuhkan ketamadunan sesebuah negara sehingga menjadi porak-peranda. Rasuah bukan hanya wang semata-mata tetapi boleh jadi dalam bentuk hadiah, bonus, jawatan, dan perkhidmatan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed FaizuddinPutra Jamalullail berkenan merasmikan projek ternakan lembu milik seorang asnaf.

Baginda bertitah selepas berkenan merasmikan projek ternakan lembu milik seorang asnaf, Zainuddin Mt Isa  di 88 Jalan Changkat Jawi, Kg PIDA 2 Sekerat. Projek ini merupakan salah satu inisiatif sumbangan sosio-ekonomi untuk golongan asnaf oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Program yang dianjurkan ini adalah bersekali dengan aktiviti “MAIPs Peduli” kali ke-53 bagi tahun 2021 dengan tema Rakyat Perlis Benci Rasuah – Katakan Tidak Kepada Rasuah dan merupakan sebahagian daripada kempen Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan oleh MAIPs dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama pihak Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) sebagai memperingati Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut pada 9 Disember setiap tahun oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.