11 Disember 2021, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat  menghadiri program “Rakyat Perlis Benci Rasuah – Katakan Tidak kepada Rasuah” yang dianjurkan secara bersama oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Masjid Al Ariffin, Padang Katong, Kangar hari ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada kempen “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan” bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bersekali dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-35 bagi tahun 2021 bersempena dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut pada 9 Disember pada setiap tahun.

Dalam program tersebut, baginda mengingatkan pihak pentadbiran masjid agar mewujudkan sistem perakaunan yang baik dan teratur. Hal ini bagi memudahkan lagi pengurusan penerimaan dan penggunaan hasil kutipan masjid sekali gus melicinkan pengurusan kewangan masjid. Di samping itu, kewujudan sistem perakaunan yang sistematik dapat mengelakkan sebarang persepsi negatif khususnya dalam aspek penyelewengan dan salah guna kuasa. Setiap ahli jawatankuasa masjid yang dilantik juga perlu menghindarkan diri daripada terlibat dalam perolehan berkepentingan seperti pemberian projek selenggara masjid kepada saudara-mara kerana hal tersebut merupakan satu kesalahan salah guna kuasa.

Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa bagi merasmikan kedai Masjid Mart yang diusahakan oleh Koperasi Masjid Al-Ariffin Padang Katong Perlis Berhad yang terletak di tepi kawasan parkir luar masjid itu. Masjid Mart yang telah mula beroperasi sejak 1 Oktober 2021 membekalkan barangan runcit kepada masyarakat setempat selain menjual produk tempatan keluaran anak kariah.

Sementara itu, Penolong Penguasa SPRM Negeri, Zurazman Noh menyampaikan taklimat  dalam program tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah selain keperluan satu usaha sama bagi menangani masalah global ini. Tema sambutan HARA 2021 adalah “Hak Anda, Peranan Anda – Katakan Tidak kepada Rasuah” (Your Right, Your Role – Say No to Corruption). Tema ini dipilih selaras dengan keperluan semua lapisan masyarakat untuk turut serta memerangi rasuah secara habis-habisan.

Ketua Pegawai Elsekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor turut menyatakan bahawa, “Mereka yang melakukan perbuatan rasuah merupakan orang yang tidak berintegriti, tidak bermoral, tidak jujur dan tidak amanah. Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada umatnya bahawa hilangnya sifat amanah dalam masyarakat merupakan antara tanda-tanda kecil berlakunya hari kiamat.”

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.