7 Disember 2021, 22:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

MAIPs Tingkatkan Mutu Perkhidmatan – Rakyat Tingkatkan Tahap Sosial Kehidupan

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) agar terus komited mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan demi memenuhi aspirasi penubuhannya.

Sebagai sebuah badan induk yang menentukan dasar hal ehwal Islam serta membantu menasihati Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Pemerintah berhubung dengan agama Islam dan adat Istiadat Melayu, MAIPs akan sentiasa berusaha keras untuk mempertingkatkan lagi pengurusan zakat dan sumber am, selain menjadi peneraju tunggal harta wakaf demi kesejahteraan sosioekonomi ummah di negeri Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat meninjau tapak projek pembangunan Kompleks MAIPs di Kangar, Perlis, semalam.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau tapak projek pembangunan Kompleks MAIPs yang dijangka siap untuk beroperasi selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2023 di Kangar, semalam.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs yang juga Accredited Checker, Dato Ir Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad.

Dalam pada itu, baginda yang merangkap Yang DiPertua MAIPs juga berharap agar seluruh rakyat terus memberikan sokongan dan dukungan padu terhadap segala inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh MAIPs.

Apa-apa yang dirancang oleh MAIPs hanya akan kekal menjadi sebuah perancangan tanpa komitmen dan kesungguhan warganya, serta sambutan daripada seluruh masyarakat untuk menjayakan segala hasrat kesejahteraan sosial ummah yang diimpikan, termasuklah menunaikan ibadat zakat, wakaf dan sedekah mereka melalui MAIPs.

Sementara itu, Mohd Nazim menambah bahawa MAIPs juga sedang merencanakan pelbagai inisiatif dalam memperteguh pembangunan amil yang merupakan faktor utama kejayaan pengurusannya.

“Bukan sekadar memberikan perhatian terhadap pembangunan sumber manusia dan pemantapan organisasi, MAIPs turut memberikan perhatian dalam penyediaan kemudahan pusat pentadbiran dan ruang perkhidmatan demi manfaat golongan sasar dan pemegang taruhnya,” katanya.

Dalam program yang lain, iaitu selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs sempena program kayuhan ‘MAIPs Peduli menjejaki dan menyantuni asnaf’ di sekitar Kuala Sungai Baru di Simpang Empat baru-baru ini, Raja Muda Perlis mengajak masyarakat agar sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dengan menyesuaikan dan membandingkan diri dengan orang lain. Hal ini demikian kerana perkara ini membolehkan setiap individu mengetahui kedudukan sebenar diri mereka dan pada masa yang sama berusaha untuk mentransformasi diri ke arah kebaikan.

Untuk merubah kehidupan, Tuanku Raja Muda menyarankan setiap individu melihat pencapaian teman masing-masing dan merancang aktiviti untuk mengatasi segala permasalahan dengan semangat dan cara yang positif. Menurut baginda, “perbandingan” ini hendaklah diambil sebagai “penanda aras” untuk lebih maju dalam sasaran kerjaya, pelajaran mahupun kehidupan peribadi.

Raja Muda Perlis menyampaikan agihan zakat MAIPs sempena program kayuhan ‘MAIPs Peduli menjejaki dan menyantuni asnaf’ di sekitar Kuala Sungai Baru di Simpang Empat, Perlis.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.