Oleh Nur Aishah Daros
5 Disember 2021, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen Nihayatul-am bagi menggalakkan masyarakat menunaikan ibadah zakat, wakaf dan sedekah menjelang akhir tahun 2021 di Masjid Al-Saadah, Santan Baroh semalam.

Baginda menyeru orang ramai untuk menunaikan ibadah zakat dan wakaf, serta memberikan sumbangan bagi menyucikan harta yang tidak patuh syariah dengan menyalurkannya kepada Tabung Bara’atuz-Zimmah (t-BAZ) yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang hadir mengiringi baginda menyatakan bahawa,

Zakat dari sudut bahasa ialah bersih, suci, bertambah dan berkembang selain membawa kepada istilah syarak, iaitu mengeluarkan sebahagian harta yang tertentu kepada asnaf yang berhak dengan syarat yang tertentu.

Beliau juga menyampaikan bahawa masyarakat wajib melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah atas nikmat harta dan kekayaan yang dikurniakan dengan menunaikan zakat. Harta yang dimiliki perlu dizakatkan apabila telah sempurna haul dan nisabnya.

Bersempena dengan program tersebut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kutipan zakat, wakaf dan sedekah, orang ramai boleh melayari laman web www.maips.gov.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.