28 November 2021, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia kini semakin maju sehingga membuatkan kita terbuai dengan segala nikmat dan keasyikan yang tersedia di dalamnya. Ada yang sanggup bergolok gadai dan berhutang, malah ada yang sanggup mencuri untuk memenuhi kehendak diri. Kehadiran pandemik COVID-19 pada tahun 2020 sedikit banyak mengajar kita untuk lebih bermuhasabah diri. Setiap ujian dan musibah yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya memiliki seribu hikmah yang terselindung di sebaliknya.

Oleh itu, manusia perlu reda dan sentiasa bersifat qanaah dengan nikmat yang diberikan. Qanaah merupakan antara sikap yang sukar dimiliki oleh manusia dek nafsu yang bersarang di dalam diri. Kita tidak akan pernah berasa puas dan cukup dengan apa-apa yang dimiliki. Namun begitu, seseorang yang diuji sedikit atau banyak pasti akan terdidik jiwanya dengan sifat qanaah.

Qanaah dari segi bahasa bermaksud reda, manakala dari segi istilah bermaksud reda atas apa-apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Namun begitu, bukanlah Islam mengajar kita agar tidak berusaha mencari rezeki dan hanya bertawakal semata-mata, tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dahulu dan kemudian reda dengan apa-apa yang diperoleh dengan bersungguh-sungguh.

Qanaah dalam erti kata lain ialah sentiasa berasa cukup dan puas dengan nikmat yang ada dan tidak menyalahkan takdir. Seseorang yang memiliki sifat qanaah di dalam dirinya merupakan orang yang paling kaya di dunia. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bukanlah kekayaan itu pada banyaknya harta, namun kekayaan itu kaya jiwa, iaitu qanaah”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Secara umumnya, qanaah boleh dibahagikan kepada empat, iaitu rasa cukup dengan sesuatu yang ada dan tidak terkejar-kejar dengan apa-apa yang tiada; rasa cukup dengan perkara yang halal dan tidak terfikir untuk mencuba perkara yang haram; rasa seronok dengan apa-apa yang dimiliki dan tidak melihat apa-apa yang orang lain miliki; dan rasa puas, malah  tiada masa untuk mengeluh dan merungut.

1.Berasa cukup dengan segala yang ada

Zaman teknologi maklumat yang serba canggih kini membuatkan manusia sering berasa tidak puas dengan apa-apa yang dimiliki. Manusia sentiasa hendak mengejar sesuatu demi memuaskan hati dan nafsu diri. Sememangnya manusia memiliki nafsu yang sukar dikawal. Dengan adanya sifat qanaah, maka hal tersebut mampu menjadi benteng dan mendidik hati agar sentiasa bersyukur dengan apa-apa yang telah dimiliki. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jika seorang anak Adam memiliki dua lembah emas sekalipun, maka dia akan berusaha mencari lembah yang ketiga. Perut anak Adam tidak akan berasa puas sehinggalah dipenuhi dengan tanah”. (Hadis riwayat al-Bukhari). Sesungguhnya dengan sifat qanaah kita mampu mengelak rasa tamak di dalam diri dan lebih bersederhana dalam setiap perkara yang kita inginkan.

2. Berasa cukup dengan sesuatu yang halal

Manusia sememangnya mempunyai nafsu yang tidak terhitung banyaknya, sehingga sering tidak puas dan sentiasa menginginkan sesuatu walaupun perkara tersebut jelas haram dan salah dari segi agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jauhilah segala yang haram, nescaya engkau akan menjadi orang yang paling baik ibadatnya. Puaslah dengan setiap rezeki yang Allah berikan kepadamu, niscaya engkau akan menjadi orang yang paling kaya”. (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Haram bukanlah hanya merujuk sesuatu makanan yang haram, malah termasuk juga sikap atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Contohnya, pekerja yang mengambil rasuah dan sogokan demi kesenangan diri sendiri. Qanaah akan menjadikan kita memiliki kehormatan diri sehingga tidak pernah terfikir dan terjebak untuk mendekati sesuatu yang haram. Kita akan sentiasa bersyukur dan puas dengan apa-apa yang kita miliki dengan hasil usaha lelah sendiri.

Pada zaman ini, mudah sahaja untuk kita mendekati sesuatu yang haram. Nafsu manusia adakalanya tunduk dengan godaan sebagaimana kisah Nabi Adam a.s. dan isteri baginda, Siti Hawa yang diusir dari syurga kerana tidak mematuhi perintah Allah SWT. Syurga sebuah tempat yang penuh dengan kebahagiaan dan kenikmatan, namun Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa tetap mengikuti kemahuan hawa nafsu mereka, iaitu memakan buah khuldi yang telah dilarang oleh Allah SWT. Hal ini menggambarkan bahawa manusia mempunyai hawa nafsu yang sangat sukar dikawal walaupun telah memiliki segala nikmat dalam kehidupan, dan jelaslah manusia secara tabiinya tidak bersifat qanaah.

3. Berasa seronok dengan apa-apa yang dimiliki

Manusia selalu cenderung untuk melihat individu yang lebih senang daripada mereka berbanding dengan individu yang lebih susah. Kadang-kadang mereka tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan yang Allah SWT berikan. Jika di dalam diri terdapat sifat qanaah, kita tidak akan memandang dan membandingkan sesuatu yang tidak kita miliki dengan orang lain kerana qanaah mendidik diri untuk memahami bahawa Allah SWT berhak mengurniakan rezeki mengikut ketetapan-Nya tanpa ada sebarang keterikatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah SWT padamu”. (Hadis riwayat Muslim).

Sentiasalah berdoalah supaya kita diberikan sifat qanaah dan selalu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Jika kita sentiasa bersyukur dengan nikmat dan tidak membandingkannya dengan nikmat orang lain, maka kita terselamat daripada sifat iri hati dan hasad dengki. Imam Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin menjelaskan bahawa hasad diertikan sebagai mengharapkan hilangnya nikmat daripada seseorang sama ada nikmat agama atau dunia. Perasaan ini merupakan satu sifat yang terlarang dalam Islam kerana akan menghapuskan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana akan menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu”. (Hadis riwayat Abu Dawud). Jadi, qanaah merupakan antara sifat yang mampu membersihkan hati daripada penyakit iri hati dan hasad dengki. Sebaliknya, kita bersyukur dan terus menggandakan usaha agar memperoleh rezeki yang lebih baik pada masa hadapan.

4. Berasa puas dan tiada masa untuk mengeluh dan merungut

Sudah menjadi lumrah manusia, apabila diuji dengan sesuatu musibah dan dugaan, rata-ratanya akan mengeluh dan merungut. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maarij ayat 19-21 yang bermaksud, “Sesungguhnya manusia itu dijadikan tabiat berkeluh kesah. Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat rasa gelisah; Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil dan kedekut”.

Seseorang manusia perlu reda, iaitu qanaah dan lapang hati dengan segala nikmat mahupun ujian yang Allah turunkan kepadanya. Bahkan, perkataan reda disebut tidak kurang daripada 70 kali dalam al-Quran. Menurut tokoh ulama terkenal, Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi, umat Islam harus reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, alam dan hidup, takdir serta rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

Umat Islam perlu memahami bahawa sememangnya mereka tidak layak untuk mengeluh dan merungut jika tidak memperoleh rezeki dan nikmat seperti yang diinginkan kerana semuanya berbalik kepada ketentuan Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-Nya”.

Muhamad Yusof dalam tulisannya yang bertajuk “Pemimpin Berjiwa Qanaah Pemacu Kesejahteraan Koperasi” menyatakan sifat qanaah mengandungi lima perkara, iaitu menerima apa-apa yang ada dengan rela; memohon kepada Allah SWT agar diberikan penambahan dengan segera yang disusuli dengan usaha; menerima ketentuan Allah SWT dengan sabar; bertawakal kepada Allah; dan tidak mudah tertarik pada tipu daya dunia. Sesungguhnya qanaah menjadikan kita hamba yang sentiasa tenang dan percaya pada setiap aturan Allah SWT. Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Bandar Baharu Kedah, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai rasa qanaah di dalam dirinya akan mendapat beberapa faedah, seperti menjadi orang yang beruntung, mudah bersyukur dan menjauhkan diri daripada hasad terhadap orang lain.

Tuntasnya, qanaah merupakan sifat atau rasa yang sukar dimiliki oleh manusia kerana mempunyai banyak nafsu dan kelemahan. Namun begitu, qanaah perlu dididik agar hidup subur di dalam diri kerana dengan adanya qanaah kita mampu menjadi manusia yang bertakwa. Imam Syafii berkata “Jika engkau mempunya hati yang qanaah, maka engkau dan raja sebenarnya sama sahaja.” Jadi, betapa hebatnya gambaran Imam Syafii bagi individu yang memiliki sifat qanaah di dalam diri.

Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin menyarankan kita sentiasa bermohon supaya diberikan sifat qanaah dengan doa yang bermaksud, “Ya Allah, anugerahilah aku rezeki yang halal, janganlah Engkau seksakan aku atas rezeki itu. Anugerahilah aku sifat mencukupkan diri (sifat qanaah) dengan apa-apa yang telah Engkau rezekikan padaku dan pakaikanlah aku dengan rezeki itu pada jalan yang baik dan terimalah yang baik itu daripadaku. Ya Allah, anugerahilah aku sifat qanaah atas dengan apa-apa yang telah Engkau rezekikan padaku dan berkatilah aku dalam rezeki tersebut, dan gantilah atasku setiap sesuatu yang hilang daripadaku dengan kebaikan”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.