26 November 2021, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkataan tabayyun bermaksud menyelidik sesuatu perkhabaran yang diterima sehingga dipastikan maklumatnya sahih dan benar. Integriti pula dapat difahami sebagai amanah dan jujur apabila berkongsi maklumat kepada orang lain. Kedua-duanya amat penting dalam penyebaran sesuatu maklumat supaya kita tidak terjebak dengan penerimaan khabar palsu, fitnah, dan sebagainya. Dalam dunia teknologi maklumat yang berkembang pesat sekarang ini, setiap berita dan cerita begitu cepat tersebar. Kebanyakan nitizen ingin menjadi orang pertama yang tahu dan berkongsi maklumat yang disebarkan.

Ketika mendepani cabaran fakta yang begitu cepat ditularkan, setiap individu bertanggungjawab untuk menyelidik terlebih dahulu maklumat yang diterima. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak tertimpa dengan satu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu akhirnya menyesal atas perbuatanmu itu”. (Surah al-Hujurat 49:6).

Sebab turunnya ayat ini dalam suatu riwayat dikhabarkan bahawa seorang pemuda bernama al-Harith telah memeluk Islam dan berjanji kepada Rasulullah SAW akan mengislamkan serta mengumpulkan zakat kaumnya yang memeluk Islam. Apabila sampai waktunya, Rasulullah SAW pun menghantar al-Walid bin Uqbah untuk memungut zakat yang dijanjikan. Dalam perjalanan al-Walid ke perkampungan al-Harith, beliau tiba-tiba berasa takut dan bimbang, lantas pulang semula ke Madinah dengan membawa khabar palsu bahawa al-Harith enggan membayar zakat, malah mahu membunuhnya.

Imam Fakhurrazi menyebut bahawa al-Walid melihat penduduk kampung al-Harith berkumpul beramai-ramai yang sememangnya menunggu kedatangan wakil Rasulullah SAW untuk membayar zakat. Akan tetapi, al-Walid menyangka kaum al-Harith mahu menyerangnya, lalu beliau terus pulang ke Madinah. Mendengarkan perkhabaran tersebut, lantas Rasulullah SAW menghantar sekumpulan tentera untuk memerangi al-Harith. Akan tetapi, al-Harith memaklumkan bahawa tiada seorang pun wakil yang datang memungut zakat seperti yang dijanjikan. Dengan penjelasan demikian, ternyata al-Walid telah melakukan pembohongan. Maka itu, turunlah ayat 6 Surah al-Hujurat tersebut.

Selain itu, terdapat satu peristiwa besar pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang dikenali dengan hadis al-ifki (cerita fitnah). Golongan munafik telah membuat fitnah dan mereka-reka cerita keji tentang Sayidatina Aisyah r.anha dan Safwan bin Ma‘tal sehingga menyebabkan bumi Madinah dicengkam perasaan terkejut dan berduka cita kerana kerukunan hidup Rasulullah SAW sekeluarga sedikit tercalar.

Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah telah mendapat undian dalam kalangan isteri nabi untuk menyertai peperangan bersama-sama Rasulullah SAW. Sewaktu tentera Islam dalam perjalanan pulang ke Madinah, mereka telah singgah di beberapa tempat persinggahan. Aisyah telah keluar dari kenderaannya untuk menunaikan qada hajat dan tanpa disedari kalungnya telah terjatuh. Hal itu menyebabkan beliau kembali ke tempat tersebut untuk mencari kalungnya. Pada masa yang sama, tentera Islam telah berangkat untuk meneruskan perjalanan pulang ke Madinah yang pada sangkaan mereka Aisyah berada di dalam kenderaan tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalungnya, beliau terus ke tempat persinggahan tentera Islam, dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila mendapati tiada lagi tentera Islam yang tinggal.

Sayidatina Aisyah terlelap kerana kepenatan, dan beliau dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Ma‘tal yang kebetulan tercicir dari kumpulan tentera Islam. Safwan yang mengetahui bahawa Aisyah ialah isteri Baginda segera merendahkan tunggangannya untuk dinaiki oleh Aisyah. Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sehinggalah sampai ke Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam pun berhenti di situ. Apabila dilihat oleh tentera Islam yang ada dalam kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebarkan cerita berunsur fitnah yang kononnya Aisyah telah melakukan hubungan dengan Safwan. Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai ke Madinah.

Rasulullah SAW mengambil sikap mendiamkan diri sehingga turunnya Surah al-Nur ayat 11-20 yang menjelaskan tentang kesucian Aisyah dan pembuktian bahawa beliau tidak bersalah melakukan perkara curang. Sejurus selepas turunnya ayat tersebut, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai Aisyah, kini Allah telah mengisytiharkan kesucianmu daripada segala noda”. Ternyata khabar angin dan musibah ini banyak mengganggu emosi nabi, para sahabat mahupun Aisyah dan bapanya, Abu Bakar al-Siddiq. Cerita palsu ini digunakan sepenuhnya oleh golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai dengan dibantu oleh Hassan bin Thabit, Mistah bin Asasah dan Hamnah binti Jahsy untuk memusnahkan rumah tangga Baginda.

Berhati-hati ketika ingin menyebarkan sesuatu perkhabaran supaya hal tersebut tidak menjadi fitnah.

Hal tersebut menunjukkan bahawa sejak zaman Rasulullah SAW lagi telah wujudnya khabar angin, fitnah, penyebaran maklumat palsu dan sebagainya. Apatah lagi pada zaman yang serba canggih ini, segala-galanya hanya berlaku di hujung jari. Maka itu, setiap individu Muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perbuatan dan perkataan agar tidak tersalah ketika menyampaikan sesuatu maklumat kerana dosa tersebut amat berat. Apabila menerima sesuatu maklumat, selidiklah terlebih dahulu fakta yang diterima dan jangan terus mempercayainya tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui, dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, bertanyalah terlebih dahulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu benar-benar betul dan tepat.

Begitu hebat bahana fitnah yang tidak megenal sesiapa, hatta nabi dan isteri Baginda sendiri terkena tempiasnya. Oleh sebab itu, Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin, manakala golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah SWT dengan balasan azab yang amat pedih. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang ingin agar berita itu tersiar (peristiwa Sayidatina Aisyah dan Safwan dalam hadis al-ifk) dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Nur 24:19).

Sehubungan dengan itu, semua individu dalam masyarakat mestilah berwaspada daripada bahana fitnah dan penyebaran maklumat palsu. Rumah tangga yang rukun damai, perpaduan dan integrasi kaum boleh bermusuhan kerana fitnah. Begitu juga keharmonian dalam konteks kejiranan juga boleh bercakaran. Jauhilah prasangka kerana hal tersebut bukan membawa keamanan, tetapi menjadi pemecah belah masyarakat. Perkara ini mesti dielakkan kerana dampak fakta palsu ini boleh menjadi barah yang melumpuhkan institusi komuniti setempat.

Penerima berita di media sosial tidak selayaknya bersubahat menghantar maklumat yang sama kepada orang lain tanpa menyelidik terlebih dahulu. Alangkah malangnya jika orang Islam sendiri bersikap percaya secara membuta tuli lantaran kejahilan yang ada pada dirinya sendiri. Berfikirlah secara matang dan adil supaya kita tidak terpikul dengan dosa yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang berkepentingan.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian ketika berhadapan dengan maklumat yang tidak pasti kesahihannya. Antaranya termasuklah:

  1. Mendalami ilmu agama secara berterusan dan mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari supaya tidak terlibat sama menyebarkan maklumat yang tidak pasti.
  2. Mengingatkan diri bahawa setiap perbuatan sentiasa diawasi dan diketahui oleh Allah SWT.
  3. Mengingatkan diri akan dosa bersubahat dalam perkara dusta dan penyebaran berita yang tidak sahih.
  4. Membuat rujukan dan bertanya kepada mereka yang berautoriti dalam isu yang diperdebatkan.
  5. Berdampingan dengan orang soleh dan menjauhi mereka yang gemarkan berita sensasi dan gosip.
  6. Menginsafi diri bahawa berita palsu suatu pendustaan dan balasannya ialah neraka.
  7. Melakukan tabayyun sebelum menyebarkan apa-apa berita.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!