20 November 2021, 07:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pejabat EXCO Jawatankuasa Tetap Hal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor dengan kerjasama Institut Selangor Darul Ehsan (IDE), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kolej Dar al-Hikmah, Universiti Selangor (UNISEL) dan Wadah Pencerdasan Umat Islam Malaysia (WADAH) telah menganjurkan “Wacana Pemikiran Tajdid Siddiq Fadzil” yang disiarkan melalui saluran media sosial rasmi Facebook Langsung DBP dan IDE petang semalam.

Wacana ini bertujuan untuk memberikan pencerahan tentang pemikiran tajdid tokoh besar milik ummah, iaitu Almarhum Profesor Datuk Dr. Siddiq Fadzil yang telah meninggal dunia pada tanggal 31 Ogos 2021 yang lepas.

Ahli panel yang diundang terdiri daripada Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Presiden Kolej Dar al-Hikmah; Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP; dan Profesor Dr. Mohd Nor Nawawi, Pengarah Pusat Kecemerlangan UNISEL.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Dato’ Dr. Mohamad Redzuan, beliau menyatakan bahawa Dr. Siddiq Fadzil telah memperjuangkan pelbagai isu berkaitan dengan konsep bangsa Malaysia dari sudut pandangan lokal.

“Satu jawatankuasa dan urus setia khas telah dibentuk bagi menghimpun karya dan pemikiran buku Dr. Siddiq Fadzil agar boleh dinikmati oleh khalayak. Semasa kebangkitan Islam pada era 70-an, beliau telah mengemukakan Manhaj Malizi, iaitu manhaj yang membawa Islam dengan pendekatan yang aman, mesra dan rahmah berbanding dengan gerakan luar yang lebih ekstrem dan radikal.

“Ternyata pendekatan itu yang terbaik berbanding pendekatan yang dibawa oleh kuasa luar lain. Oleh itu, saya berharap wacana ini mampu memberikan impak positif bagi membina masyarakat yang lebih berilmu sesuai dengan perjuangan panjang yang disumbangkan oleh Dr. Siddiq Fadzil,” katanya.

Sumber: Facebook DBP

 

Memulakan sesi perbincangan, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty membicarakan tentang pemikiran tajdid Dr. Siddiq Fadzil dalam aspek pengajian tinggi dengan merujuk buku beliau yang bertajuk Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan: Himpunan Pidato Kependidikan Siddiq Fadzil.

Beliau melihat pendidikan terutamanya pengajian tinggi merupakan faktor paling kritikal dalam usaha membina kualiti umat. Beliau amat kecewa dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini kerana dikuasai oleh ahli politik dan kaum kapitalis. Menurut beliau,

Kebangkitan Islam hendaklah berasaskan kekuatan ilmu kerana kekuatan ilmu sahaja yang mampu menyelamatkan kebangkitan Islam.

Sementara itu, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang membincangkan pemikiran tajdid Dr. Siddiq Fadzil dari aspek persuratan pula berkata, Dr. Siddiq Fadzil merupakan seorang ilmuwan yang sangat menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Jawa sehinggakan beliau mampu mengungkap bahasa Jawa halus dalam syarahan beliau.

“Beliau merupakan seorang ilmuwan yang bukan sahaja mengemukakan fakta semata-mata dalam tulisannya, tetapi juga menjelmakan jiwa. Segala bentuk tulisan dan video ucapan beliau bukan hanya perlu dikupas berkaitan dengan ilmunya, bahkan dari segi retoriknya.

“Dr. Siddiq Fadzil juga mengagaskan suatu pemikiran yang mengangkat semula peranan Islam dalam peradaban dan tamadun Melayu. Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak dan meraikan kepelbagaian untuk menghasilkan keharmonian sebagaimana acuan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Dari aspek dakwah, Profesor Dr. Mohd Nor Nawawi pula berkata bahawa aliran Islam di Malaysia sebenarnya dicetuskan dan dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), tetapi organisasi tersebut mempunyai kekangan. Oleh itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) datang membawa satu aliran dan kefahaman Islam yang lebih aman dan mesra sehingga masyarakat lebih mudah menerima ABIM. Bahkan, ahli ABIM  termasuk Dr. Siddiq Fadzil juga telah mengubah gaya pemakaian masyarakat wanita Islam di Malaysia dengan bertudung.

Fenomena tersebut juga mempengaruhi dunia luar seperti Indonesia dan Morocco. Dr. Siddiq Fadzil merupakan penjelmaan dakwah di Malaysia,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.