20 November 2021, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru golongan berisiko tinggi menghidap kencing manis agar membuat saringan pada setiap tahun walaupun tidak bergejala.

Dalam hal ini, Tuanku Raja Muda begitu menekankan pentingnya saringan tahunan dibuat supaya penyakit tersebut dapat dikesan dan dirawat lebih awal kerana hal ini sekali gus dapat mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri sesi ceramah bersempena dengan “Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Perlis” yang disambut pada 14 November setiap tahun anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kesihatan Negeri. Majlis tersebut  diadakan di Masjid Al Islah, Ngulang bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-33 bagi tahun 2021.

Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor; dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Muhammad Hafeez Abu Seman.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), iaitu “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan” tersebut bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran berkenaan penyakit diabetes, impaknya ke atas kesihatan dan kesejahteraan, serta strategi berkesan yang boleh digunakan untuk mengekang dan mengawalnya.

Terdahulu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kampung Gial, Dr. Muhammad Ihsan Zakaria dalam ceramah beliau menggesa golongan berisiko tinggi dan bergejala seperti kerap membuang air kecil, kerap dahaga atau lapar dan sentiasa berasa lesu agar segera membuat saringan awal di hospital ataupun di klinik berdekatan.

Kencing manis atau diabetes tidak seharusnya dipandang ringan kerana penyakit tersebut boleh membawa komplikasi yang lebih teruk dan melibatkan banyak organ dalaman yang lain seperti mata, otak dan juga jantung.

“Hal ini bergantung pada jangka masa seseorang menghidap penyakit tersebut dan kawalan paras glukos dalam darah.

“Walaupun kencing manis merupakan penyakit kronik dan kebiasaannya pesakit sukar untuk sembuh sepenuhnya, namun penyakit tersebut boleh dikawal. Sehubungan dengan itu, sangat penting bagi semua golongan berisiko tinggi agar membuat saringan berkala supaya penyakit tersebut dapat dikesan pada peringkat awal lagi.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah serangan jantung, strok, sejarah kencing manis ketika hamil dan mereka yang berusia 30 tahun ke atas turut tergolong sebagai mereka yang berisiko tinggi dan disarankan membuat saringan awal.

Beliau menambah, “Antara komplikasi kencing manis termasuklah buta, kerosakan buah pinggang atau saraf, serangan strok serta masalah jantung.

Beliau juga menegaskan bahawa komplikasi tersebut bukan hanya memberikan kesan yang berkekalan, malah memerlukan pengurusan pesakit yang amat rapi serta kos yang begitu tinggi setiap kali rawatan.

Sementara itu, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan zakat MAIPs kepada 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut yang diwakilkan melalui amilnya, iaitu Abdul Rahman Dahlan. Masing-masing menerima RM400 dengan jumlah penuh agihan pada kali ini sebanyak RM11 200.

Sebelum berangkat pulang, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut meluangkan masa singgah di sudut promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs dan Rejimen 504 Askar Wataniah yang disambut oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.