19 November 2021, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Gagasan Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,  telah membawa impak yang besar terhadap usaha penyatuan masyarakat di Malaysia. Gagasan tersebut menggambarkan kesatuan dan kebersamaan nilai didikan yang sempurna, bukan sekadar dalam sebuah keluarga, tetapi melangkaui batas sempadan bangsa dan kaum. Berasaskan konsep ini, pelbagai program kemasyarakatan dapat dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan kejiranan dan komuniti setempat. Kerjasama pelbagai pihak boleh dilibatkan bagi memastikan kejayaan setiap perancangan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Masjid al-Azim, Kariah Taman Semarak Nilai, Politeknik Nilai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Semarak Nilai, Pejabat Kesihatan Daerah Nilai, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Daerah Nilai dan komuniti setempat telah melaksanakan program “Sepakat Keluarga Malaysia”.

Program ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian seperti aktiviti ceramah pencegahan denggi, gotong-royong, ceramah pencegahan jenayah, penanaman pokok, penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan fakir miskin dan kuiz kenegaraan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam program “Sepakat Keluarga Malaysia”.

Dalam ucapan alu-aluan, Tuan Hj. Md Fakarudin Ab Rahman selaku Pengerusi Masjid al-Azim melahirkan rasa teruja beliau dengan pelaksanaan program tersebut.

“Masjid al-Azim sentiasa terbuka untuk menganjurkan program seperti ini kerana hasrat utama saya adalah ingin menjadikan institusi masjid sebagai tempat permuafakatan ahli kariah dan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Nilai, Encik Wan Zulkifly Wan Zakaria merakamkan ucapan terima kasih atas kesediaan pihak penganjur menerima kehadiran warga Politeknik Nilai melaksanakan program khidmat masyarakat, dan seterusnya memberikan peluang kepada anak didik Politeknik Nilai untuk mendekati serta menyantuni masyarakat di kawasan Taman Semarak. Beliau berharap program ini akan  dijadikan sebagai program tahunan politeknik tersebut. Seramai lebih kurang 150 pelajar politeknik telah melaksanakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan empat blok rumah flat terpilih

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Haji Shahnon Mohamad, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sembilan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran program tersebut yang dianggap sebagai perintis ke arah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, agama, bangsa dan budaya, khususnya di Taman Semarak.

“Hubungan baik antara jiran dapat dipupuk melalui aktiviti gotong-royong dan aktiviti sampingan yang telah dijalankan. Amalan gotong-royong ini dapat menyatukan penduduk di Taman Semarak, Nilai,” ujar beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.