17 November 2021, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Rakyat disarankan agar menguruskan masa dengan baik kerana perkara tersebut menjadi pemangkin kemajuan kepada sesebuah organisasi, negeri dan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya rakyat membuang sikap melengah-lengahkan masa kerana tabiat negatif itu akan memberikan impak yang buruk kepada semua.

Tambah Tuanku Raja Muda yang mengambil contoh dalam sektor pembinaan, kelewatan sesuatu projek boleh mengakibatkan kerugian kos akibat kenaikan harga barang dan bekalan bahan binaan dan upah semasa. Kelewatan pembinaan juga akan memberikan kesan kepada pihak lain seperti pembeli yang berhadapan dengan risiko dan kos akibat kelewatan pembinaan.

Bayangkan sebuah projek seperti pembinaan lot-lot rumah kedai yang sepatutnya mengambil masa setahun untuk disiapkan tertunda hingga dua tahun atau lebih akibat kegagalan sesetengah pihak menguruskan masa dengan sewajarnya.

“Hal ini akan menyebabkan kerugian dari segi kos berikutan kenaikan harga barangan dan bekalan bahan binaan serta upah semasa. Bukan itu sahaja, ianya akan turut menjejaskan perancangan pembinaan seterusnya  seperti kemudahan dan sewaan unit.

Baginda turut bertitah bahawa jika sesuatu projek diuruskan dengan betul, iaitu mengikut masa yang ditetapkan, projek berkenaan pastinya akan mampu membawa kepada pembangunan ekonomi negeri dan penduduk setempat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan titah tersebut selepas berkenan menyantuni Encik Fhaizul Izwan Fadzil, 41 tahun yang menghidap gout di Kampung Bangsal Lebah. Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan dalam bentuk bantuan wang tunai, beras, dan bekalan makanan mentah. Encik Fhaizul Izwan Fadzil bekerja sebagai tukang rumah dan merupakan penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs dan Bantuan Bencana MAIPs.

Turut hadir sama mengiringi baginda ialah Encik Syed Aisam bin Syed Idris Alhabshe, Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.