Oleh Rosmani Omar
13 November 2021, 11:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Tanggal 12 November 2021 bersamaan 7 Rabiulakhir 1443H, Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (MTSFPJ) di Batu 5 Jalan Kuala Perlis yang baru sahaja siap dibina telah dibuka untuk kegunaan umat terutamanya masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersetuju memberikan kebenaran untuk mengadakan solat fardu dan solat Jumaat di bangunan baharu tersebut. Walaupun demikian, solat fardu dan solat Jumaat hendaklah dilaksanakan oleh imam yang dilantik oleh MAIPs dengan mematuhi garis panduan dan fatwa yang dikeluarkan oleh MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan surat kebenaran yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Takmir mewakili Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Encik Ameer Ikhwan Zaini kepada Tuan Haji Kamarudin Talib, merangkap Pengerusi dan Imam masjid tersebut. Baginda berkenan berangkat ke majlis berkenaan bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-33 bagi tahun 2021.

Raja Muda Perlis berkenan berangkat menyaksikan penyerahan surat kebenaran mengadakan solat fardu dan solat Jumaat di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Semasa penyerahan surat kebenaran solat fardu dan solat Jumaat di masjid tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs berjumlah penuh RM11 200 dan penerima masing-masing akan menerima RM400 seorang. Zakat tersebut diserahkan kepada 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan untuk diagihkan melalui Encik Kamarudin yang juga amil kariah masjid tersebut.

Pembinaan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mendapat perhatian ramai kerana bangunannya yang tersergam indah di kawasan yang penuh harmoni, di sekitar sawah padi dan rumah kampung. Orang ramai yang menuju ke Kuala Perlis boleh menikmati keindahan masjid ini yang dicat dengan warna diraja, iaitu warna kuning dengan reka bentuk ala Rusia. Masjid ini diengkapi dengan beberapa buah kubah, dengan warnanya yang tersendiri yang menambahkan lagi keindahan masjid ini. Masjid ini bakal dilengkapi dengan teknologi hijau melalui kerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Raja Muda Perlis mengikuti ceramah yang diadakan bersempena dengan Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-33 bagi tahun 2021.

Bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-33 bagi tahun 2021 itu turut diadakan Ceramah Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan berjudul “Masyarakat Perlis Benci Najis Dadah” yang disampaikan oleh Pegawai dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis, Encik Shamsul Akmal Jaafar dan juga promosi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.