9 November 2021, 23:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beseri – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati masyarakat agar lebih berwaspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa bagi kes penipuan yang melibatkan transaksi dalam talian.

Baginda menzahirkan kerisauan terhadap kegiatan sindiket penipuan dan penyelewengan yang sering berlaku dan berubah mengikut peredaran masa. Tambahan pula, kemunculan alat komunikasi terkini seperti telefon pintar yang membolehkan pelbagai aplikasi boleh dimuat turun sewenang-wenangnya menjadikan jenayah seumpama ini sukar dibendung.

Sekiranya orang awam dihubungi oleh pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan atau barangan yang meragukan, mereka hendaklah mendapatkan kepastian dengan merujuk terus kepada individu yang berkenaan atau agensi yang terlibat.

Titah baginda tersebut dinyatakan dalam hebahan media yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada hari ini.

Baginda turut menyarankan orang ramai agar membuat semakan melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/, iaitu portal yang dibangunkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyantuni Encik Bidin Khamis, 83 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan sakit kaki di Kampung Tok Kayaman. Baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs berupa bantuan tunai bernilai RM700.00, beras dan bekalan makanan mentah kepada Encik Bidin yang bergantung hidup kepada anaknya yang bekerja kampung. Encik Bidin merupakan antara individu yang disenaraikan sebagai penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs.

Turut hadir sama semasa penyerahan bantuan tersebut ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.