6 November 2021, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada pagi ini berkenan berangkat menyempurnakan istiadat Majlis Konvokesyen KUIPs Kali Ke-4 Tahun 2021 yang diadakan di Auditorium KUIPs, Kampus Kuala Perlis. Keberangkatan tiba baginda di majlis tersebut disambut oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Rektor, Profesor Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman.

Dalam titah perasmian majlis, Raja Muda Perlis mengucapkan tahniah kepada warga kerja KUIPs yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas kejayaan melahirkan pelajar cemerlang termasuklah pelajar yang berjaya menerima ijazah dan diploma. Baginda menyatakan bahawa kejayaan pelajar yang dihasilkan oleh KUIPs merupakan testimoni terbaik terhadap komitmen semua pihak. Baginda berharap agar budaya pengajaran yang berkualiti tinggi di samping budaya inovasi dan kreativiti di KUIPs akan terus dilaksanakan.

Selaras dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) yang menginginkan mahasiswa bersifat holistik, berdaya saing dan bercirikan keusahawanan, baginda turut mengingatkan para pelajar agar melakukan transformasi minda dalam menentukan hala tuju masa depan mereka. Menurut baginda, setelah tamat pengajian tiada jaminan untuk para pelajar memperoleh pekerjaan. Oleh itu, transformasi minda daripada menjadi pencari kerja (job-seeker) kepada pencipta kerja (job-creator) perlu ditanam dalam diri kalangan para pelajar.

WhatsApp-Image-2021-11-06-at-13.34.40.jpeg
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan Majlis Konvokesyen KUIPs Kali Ke-4 Tahun 2021 di Kuala Perlis.

Majlis konvokesyen pada kali ini menyaksikan seramai 473 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing. Daripada jumlah tersebut, seramai 167 orang graduan menerima ijazah sarjana muda manakala 306 orang graduan menerima diploma.

Tiga pelajar yang telah dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Nurin Wahidah Mazrizal yang merangkul Anugerah Martabat Al-Syaraf Al-Ulu, Najwa Hanum Mahadzir yang meraih Anugerah Imtiyaz Khas Tahun 2020 dan Nur Farah Ardini Low yang menerima Anugerah Imtiyaz Khas Tahun 2021.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi KUIPs Sdn. Bhd., Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.