20 Oktober 2021, 22:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh menasihati semua pihak sama ada para asatizah (guru atau penceramah agama) dan seluruh lapisan masyarakat agar dapat menjaga adab dan disiplin ilmu dengan sebaik mungkin. Perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti melampau hendaklah dielakkan.

“Ilmu yang hendak disampaikan perlulah melihat kepada realiti semasa dan keupayaan intelek masyarakat awam agar tidak menimbulkan polemik yang berpanjangan. Perkara ini perlu bagi mengelakkan fitnah yang boleh mencemarkan kesucian agama dan umat Islam.

Para asatizah yang menyampaikan ilmu dan dakwah juga hendaklah mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing. Walaupun tugas menyampaikan ilmu dan dakwah merupakan suatu amalan yang mulia, namun semua pihak perlu diingatkan untuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Datuk Abdul Aziz menyeru masyarakat, khususnya umat Islam agar mendapatkan ilmu daripada para ilmuwan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu yang disampaikan. Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas tentang sesuatu perkara, maka mereka perlu merujuk pihak berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti.

“JAKIM memohon kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk sama-sama menjaga keharmonian Keluarga Malaysia yang sekian lama terpelihara. Bibit-bibit persengketaan, api kebencian dan perpecahan hendaklah dielakkan kerana hal tersebut merupakan perkara yang jelas dilarang oleh agama Islam,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih dan menyanjung tinggi usaha para penceramah agama di negara ini yang saban masa begitu aktif menyampaikan ilmu untuk mendidik umat ke arah yang lebih baik dan sempurna. Kewujudan pelbagai medium semasa khususnya media sosial turut memberikan impak yang positif untuk merancakkan lagi program keilmuan dan dakwah.

Lanjutan daripada itu, beliau memaklumkan bahawa JAKIM akan mengadakan Multaqa Dai Bersama YB Senator Haji Idris Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, pada 28 Oktober 2021.

“Program yang menghimpunkan para asatizah dalam negara ini bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan dan mengeratkan hubungan antara ulama dengan umara ke arah Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.