19 Oktober 2021, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini jatuh pada 19 Oktober 2021 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1443 Hijrah. Kebiasaannya, umat Islam di seluruh dunia akan memenuhi ruang masjid atau tempat-tempat terpilih dengan pelbagai aktiviti keagamaan, seperti membaca al-Quran, berzikir, berceramah mengenai sirah Nabi Muhammad SAW, berselawat dan berzanji pada hari sambutan Maulidur Rasul. Mimbar Jumaat juga tidak terlepas daripada menyampaikan khutbah untuk menyuburkan kecintaan umat Islam terhadap Baginda.

Kegembiraan menyambut Maulidur Rasul merupakan satu daripada tanda seseorang itu mencintai Nabi Muhammad SAW, dan hal ini bukanlah perbuatan yang dilarang oleh Islam sepertimana anggapan sesetengah pihak. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, seorang ulama al-Azhar yang menyatakan bahawa jika setiap ciptaan yang dijadikan oleh Allah SWT bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW, mengapa sebilangan manusia hari ini ingin menghalang majoriti umat Islam daripada bergembira dengan kelahiran Baginda?

Perutusan Nabi Muhammad SAW merupakan rahmat daripada Allah SWT kepada semua makhluk-Nya, terutamanya manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kami tidak utus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya 21:107). Disebabkan hal itu, umat Islam diperintahkan untuk mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi cinta mereka terhadap makhluk yang lain. Bahkan, seseorang itu tidak dikira beriman jika mereka tidak mencintai Baginda dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku lebih daripada kecintaannya terhadap anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi Muhammad SWT juga berjanji bahawa sesiapa yang mencintai Baginda, maka mereka akan bersama-sama dengan Baginda di dalam syurga. (Hadis riwayat al-Bukhari dan al-Tirmidzi). Maka itu, wajarlah umat Islam menyambut Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Nabi Muhammad SAW.

Bukan itu sahaja, kecintaan dan kepatuhan terhadap Allah SWT turut dihubungkan secara jelas oleh al-Quran dengan memerintahkan umat Islam supaya mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap perkara. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi (dan mencintai) Allah, maka ikutlah aku (iaitu Rasulullah) nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi”. (Surah Ali ‘Imran 3:31).

Mengikut sunah Nabi Muhammad SAW juga merupakan tanda kecintaan terhadap Baginda.

Meskipun sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini tidak dapat diadakan secara besar-besaran kerana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, namun, tidak bererti umat Islam tidak boleh menzahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW. Sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai satu usaha untuk mengingati Nabi Muhammad SAW dan kecintaan terhadap Baginda sepanjang masa.

Antara tanda lain mencintai Nabi Muhammad SAW termasuklah menjadikan Baginda sebagai ikutan terbaik. Setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT diseru agar sentiasa mengikut Nabi Muhammad SAW dan sunah Baginda, serta menjauhi perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi kamu telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab 33:21).

Selain itu, Allah SWT turut memerintahkan manusia supaya mentaati segala suruhan dan larangan daripada Nabi Muhammad SAW. Hal ini dapat kita fahami berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada orang yang berkuasa dalam kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’ 4:59). Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan apa-apa jua perintah yang dibawa oleh rasul kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa-apa jua yang dilarang melakukannya maka patuhilah larangannya.” (Surah al-Hasyr 59:7).

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah nabi-Nya.” (Hadis riwayat Malik). Begitu juga sesiapa yang menghidupkan sunah baginda akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Melalui hadis ini, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang menjadikan al-Quran dan sunah baginda sebagai pegangan dan ikutan, maka mereka tidak akan sesat serta selamat selama-lamanya.

Selain daripada menyampaikan risalah Islam dari aspek tauhid dan syariat, perutusan Nabi Muhammad SAW juga bertujuan untuk menyempurnakan sunah akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak mulia”. (Hadis riwayat Ahmad). Dalam riwayat yang lain, disebutkan oleh Aisyah r.anha bahawa akhlak Nabi Muhammad SAW ialah al-Quran (Hadis riwayat Muslim). Disebabkan hal itu, umat Islam diperintahkan mengambil akhlak yang mahmudah (terpuji) dan meninggalkan perkara mazmumah (terkeji).

Dalam Surah al-Najm ayat 3-4, dinyatakan bahawa semua yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW merupakan wahyu daripada Allah SWT. Baginda sama sekali tidak mendatangkan perkara yang salah, tidak benar dan sia-sia kepada manusia. Namun begitu, sebahagian umat Islam hari ini tidak sepenuhnya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan terbaik atau suri teladan dalam setiap kehidupan seharian, bahkan menjadi lebih parah sehingga boleh membawa percanggahan dengan ajaran Islam.

Mereka lebih percaya kepada pemikiran dan fahaman Barat yang bukan Islam berbanding dengan memahami dan beriman dengan al-Quran dan hadis yang berteraskan Ahli Sunah Waljamaah. Mereka juga lebih mengenali tokoh dan artis bukan Muslim, berbanding dengan keperibadian Nabi Muhammad SAW dan para ulama yang diiktiraf keilmuannya. Keadaan ini menyebabkan umat Islam semakin hilang jati diri dan identiti mereka sebagai Muslim sejati disebabkan terpengaruh dengan panduan dan rujukan yang salah.

Perkara ini sangat membimbangkan dan perlu diberikan perhatian yang serius oleh seluruh umat Islam. Musuh Islam sentiasa berusaha menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara strategi yang digunakan adalah dengan menjauhkan umat Islam daripada mengikut Nabi Muhammad SAW dan memesongkan fakta tentang Baginda. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu hinggalah kamu mengikuti agama (pegangan) mereka.” (Surah al-Baqarah 2:120).

Strategi ini penting memandangkan Nabi Muhammad SAW mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Perkara ini diakui sendiri oleh sarjana Barat, Michael H. Hart dalam bukunya, The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. Beliau meletakkan nama Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah sepanjang zaman. Menyedari hakikat ini, musuh Islam berusaha keras untuk menyekat pengaruh Baginda, dan usaha ini bertujuan untuk menjayakan agenda mereka bagi menghancurkan umat Islam.

Tuntasnya, umat Islam mesti menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan terbaik dalam setiap perkara kerana Baginda merupakan insan bersifat kamil, iaitu manusia yang sempurna dalam segenap aspek dan sesuai dengan kedudukan Baginda yang tertinggi sebagai rasul utusan Allah SWT. Oleh hal yang demikian, mengikuti dan mentaati Baginda merupakan perkara utama yang mesti dilakukan bagi setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Muhammad Rashidi Wahab (Dr.) merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi