16 Oktober 2021, 23:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena sambutan Maulidur Rasul, TV AlHijrah akan menyiarkan rancangan “Muhammad Kekasih Agung” yang akan menggabungkan dua orang penceramah terkenal bersama-sama sepuluh penghibur tanah air.

Rancangan tersebut akan disiarkan secara langsung selama dua jam, iaitu bermula pukul 9.00 hingga 11.00 malam pada 19 Oktober akan datang.

Dengan mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul TV AlHijrah, iaitu “Manhaj Rabbani, Negara Harmoni”, rancangan tersebut akan menggabungkan bacaan al-Quran, qasidah, selawat, monolog, sajak, tausiyah dan nyanyian tentang Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kekuatan rancangan “Muhammad Kekasih Agung” ini terletak pada gabungan dua elemen utama dalam penerbitan sesebuah rancangan hiburan Islam, iaitu objektif dan konsep rancangan.

“Kami pilih untuk terbit dan siar rancangan ini kerana sebagai umat Islam, semua sedia maklum bahawa pintu utama untuk meraih kecintaan Allah SWT terhadap kita semua adalah melalui kekasih-Nya, iaitu Baginda Rasullullah.

“Rancangan ini melahirkan rasa rindu kepada Nabi Muhammad SAW kerana kita membawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan Baginda bermula dari detik kelahiran, kisah sebelum kenabian, detik wahyu diturunkan, cabaran dakwah, tahun dukacita, Israk dan Mikraj, hijrah ke Madinah, khutbah terakhir hinggalah saat kewafatan nabi.

“Keduanya, kami tampilkan penceramah hebat serta penghibur berdedikasi yang memiliki ilmu, kekuatan vokal dan penghayatan penuh emosi untuk menyingkap semula tabir perasaan cinta para penonton terhadap Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Selain Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Jafri Abu Bakar, antara personaliti yang akan ditampilkan dalam rancangan tersebut termasuklah Faizal Tahir, Dato’ Hattan, kumpulan Kopratasa, Daqmie, Ijam Medicine, Naqiu, Datin Alyah, Ustazah Sharifah Khasif dan kumpulan nasyid Zayne.

Selain itu, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain seperti siaran langsung “”Hijrah Anak Muda pada 18 Oktober pukul 6.00 petang, siaran langsung “Di Ambang Muhammad Kekasih Agung” pada 19 Oktober pukul 6.00 petang, siaran langsung “Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia” pada 20 Oktober pukul 4.30 petang, “Al-Quran Johan-johan Kebangsaan” pada 26 Oktober pukul 9.00 malam dan “Gema Haflah” pada 30 Oktober pukul 9.00 malam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.