14 Oktober 2021, 23:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PATANI – Setiap bahasa di dunia mempunyai sistem tulisannya yang tersendiri. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang mempunyai sistem tulisan rumi dan tulisan Jawi. Namun begitu, tulisan Jawi merupakan sistem tulisan bahasa Melayu yang sebenarnya membawa kepada pembinaaan dan kebangkitan peradaban tamadun Melayu Islam di Nusantara.

Melihat akan pentingnya tulisan Jawi dalam pembinaan tamadun Melayu, Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam (PUSTANI), Universiti Fatoni (FTU) dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) telah menganjurkan forum yang bertajuk “Jawi dalam Pembinaan Tamadun Melayu Islam di Nusantara” yang dapat diikuti secara dalam talian melalui aplikasi zoom, Facebook FTU tv dan Youtube FTU tv pada pagi tadi.

Ahli panel yang diundang ialah Rektor Universiti Fatoni, Syeikh Profesor Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya; Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk Haji A. Aziz Deraman.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi FUSTAN, Profesor Madya Dr. Ahmad Omar Chapakiya berkata, beliau berharap forum ini dapat menjadi titik permulaan untuk memperkasakan tulisan Jawi di Nusantara.

Sumber: Facebook Awang Sariyan Kembara Bahasa.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Syeikh Profesor Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya menyatakan bahawa bahasa datang bersama agama dan belum ada bahasa yang boleh mengajar Islam selain bahasa Melayu Jawi kerana tulisan Jawi merupakan tulisan yang paling dekat dengan al-Quran, iaitu dengan penambahan lima huruf sahaja daripada huruf hijaiyah.

Menurut Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pula, walaupun telah wujud beberapa tulisan seperti tulisan kawi, palava dan rencong, namun tulisan Jawi merupakan obor baharu peradaban Melayu.

“Tulisan Jawi jika diterjemahkan tidak dapat memberikan makna jelas bahasa Melayu berbanding dengan tulisan Jawi yang seterusnya mengangkat martabat dan taraf orang Melayu,” katanya.

Hal tersebut dipersetujui oleh Datuk Haji A. Aziz Deraman yang menyatakan bahawa kajian pengkaji Barat menunjukkan bahawa tamadun Melayu Islam telah terbina dengan tulisan Jawi.

“Kemajuan di alam Nusantara suatu masa dahulu bertitik tolak daripada kegemilangan tulisan Jawi. Tulisan Jawi digunakan secara meluas pada masa dahulu termasuklah ketika zaman penjajahan. Namun begitu, kini tulisan Jawi semakin terpinggir di Nusantara. Maka itu, kekuatan ilmu dan daya intelektualisme Melayu sejak zaman-berzaman dahulu wajar dipelihara melalui wadah bahasa Melayu sebagai bahasa utama,” katanya

Forum tersebut diakhiri dengan sajak bertajuk “Jawi Warisan Leluhur” oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan dua rangkap pantun oleh Datuk Haji A. Aziz Deraman.

Syeikh Profesor Madya Dr. Ismail Lutfi Japakiya menyatakan harapan Universiti Fatoni untuk berkerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasakan bahasa Melayu terutamanya dalam aksara Jawi.

“Semoga kerjasama negara di Nusantara dapat meningkatkan lagi penggunaan dan penguasaan Jawi dalam  kalangan masyarakat,” ujarnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.