14 Oktober 2021, 17:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Penciptaan manusia dan ketetapan menjadi penghuni di dunia ini adalah untuk tunduk beribadat kepada Allah SWT. Tujuan utama penciptaan manusia dinyatakan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah al-Dhariyat 51:56).

Perlu difahami bahawa Allah SWT sekali-kali tidak berhajat pada amalan hamba-Nya. Allah boleh memerintahkan manusia beribadat kepada-Nya sebagai balasan kerana telah mencipta dan mengurniakan segala nikmat yang diperlukan oleh manusia ketika hidup. Namun begitu, pada hakikatnya setiap pelaksanaan ibadat yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah SWT, sebaliknya kebaikan daripada pelaksanaan ibadat akan dikembalikan faedahnya kepada manusia.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya”. (Surah Fussilat 41:46).

Ayat ini membuktikan keadilan Allah SWT yang akan mengurniakan balasan baik kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan, serta mengenakan balasan buruk kepada mereka yang mengingkari ketetapan-Nya. Jelaslah bahawa Allah SWT tidak berhajat pun pada amalan para hamba-Nya. Sekiranya tidak ada seorang manusia pun yang beribadat kepada Allah, hal itu tidak sedikit pun mengurangkan kehebatan dan keesaan-Nya.

Keadilan Allah SWT terhadap para hamba-Nya dilihat daripada ketetapan yang melibatkan pahala dan dosa. Orang yang melakukan kebaikan akan dikurniakan ganjaran pahala, begitu juga sebaliknya.

Dalam keadaan manusia diberikan al-Quran sebagai panduan kehidupan dan dikurniakan akal fikiran, manusia sepatutnya cukup layak untuk menanggung taklif bahawa sekiranya memilih untuk melakukan kebaikan, maka akan dikurniakan pahala. Sebaliknya, jika memilih untuk melakukan dosa dan kemungkaran, maka selayaknya mereka dibebani dengan dosa atas pilihan mereka sendiri.

Pada hari akhirat nanti, setiap perbuatan manusia akan dinilai seadil-adilnya oleh Allah SWT tanpa berlaku sebarang keculasan. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT yang membuktikan keadilan-Nya terhadap setiap hamba yang diberi peluang menjalani kehidupan di dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Pada hari itu, manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan mereka. Maka, sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya). Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya)”. (Surah al-Zalzalah 99:6-8).

Perbahasan tentang pahala dan dosa bukan sahaja memperlihatkan keadilan Allah SWT, malah sebenarnya kita berpeluang untuk menyaksikan kasih sayang-Nya terhadap sekalian manusia. Penilaian Allah SWT terhadap perbuatan hamba-Nya tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan penilaian yang dilakukan oleh manusia. Lihatlah betapa Allah SWT menunjukkan rahmat-Nya yang sangat luas untuk sekalian makhluk.

Dalam hal pahala misalnya, Allah SWT menjelaskan pemberian pahala yang bukan sahaja setimpal, tetapi dijelaskan tentang penggandaan ganjaran pahala. Bukankah hal ini menunjukkan bahawa Allah SWT Maha Pemurah (al-Rahman) lagi Maha Mengasihani (al-Rahim)?

Ganjaran pahala orang bersedekah diibaratkan seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai menghasilkan seratus biji.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. (Surah al-Baqarah 2:261).

Begitu juga dengan ganjaran pahala bagi orang yang membaca ayat-ayat Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan, dan kebaikan itu akan dilipatgandakan 10 kali. Aku tidak mengatakan bahawa alif lam mim itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Jami‘ al-Tirmidzi, Kitab Fada’il al-Qur’an ‘an Rasulillah, no. 3158).

Kemuncak gambaran gandaan pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya ialah malam lailatulqadar yang dihadirkan pada setiap tahun dalam bulan Ramadan. Satu malam yang dirahsiakan oleh Allah SWT daripada pengetahuan manusia, namun menjanjikan kelebihan yang sangat luar biasa.

Kelebihan lailatulqadar pula berlangsung sepanjang malam tanpa had waktu. Hal ini membuktikan bahawa Allah SWT bukan sahaja mengurniakan pahala mengikut kadar amalan hamba-Nya, tetapi membuka ruang yang amat luas dengan pahala yang berganda. Peluang itu boleh diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh setiap orang Islam.

Allah SWT menjelaskan seperti firman-Nya yang bermaksud, “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”. (Surah al-Qadr, 97:3-5).

Dalam hal dosa pula, sememangnya orang yang melakukan kemungkaran selayaknya dikenakan dosa. Walaupun mereka mengetahui kemungkaran yang ditegah oleh Allah SWT, tetapi masih juga terjebak melakukan perkara yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak.

Sesungguhnya, dosa yang banyak dalam buku amalan manusia melayakkan dirinya menjadi penghuni neraka. Neraka merupakan tempat bagi orang yang mengumpulkan banyak dosa kerana kemungkaran yang dilakukannya ketika berada di dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada di dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka), ‘Rasalah kamu bakaran api neraka’”. (Surah al-Qamar ayat 47-48).

Allah SWT menzahirkan keluasan rahmat-Nya dengan membuka pintu keampunan kepada para hamba-Nya yang telah melakukan dosa. Memang benar setiap perbuatan buruk dijanjikan balasan dosa dan neraka.

Namun begitu, Allah SWT dengan rahmat-Nya telah membuka pintu keampunan untuk manusia memperoleh keampunan tersebut. Peluang berharga itu pula terbuka kepada setiap hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai para hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Zumar 39:53).

Dalam hadis pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya Allah selalu membuka rahmat-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang hari. Dan Allah membuka rahmat-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam hari. Begitulah sehingga matahari terbit dari arah barat”. (Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Tawbah, no. 7165)

Semua ini bukan sahaja membuktikan keadilan Allah SWT, malah turut membuktikan luasnya rahmat Allah SWT kepada sekalian hamba-Nya. Memang benar, perbuatan buruk balasannya dosa dan neraka. Namun begitu, rahmat Allah SWT melangkaui keadilan-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Jika kamu menjauhkan dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan mengampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)”. (Surah al-Nisa’ 4:31).

Marilah kita bermuhasabah agar dapat menggandakan amalan baik untuk meraih ganjaran pahala berganda daripada Allah SWT. Pada masa yang sama, kita perlu kembali kepada Allah SWT menerusi jalan taubat agar mendapat keampunan-Nya meskipun melakukan banyak dosa dan kesalahan. Allah SWT memang tidak akan sesekali memungkiri janji-Nya, malah Dia membuka ruang yang amat luas untuk sekalian hamba-Nya agar mendapat rahmat dan kasih sayang-Nya.

“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya, Allah tidak memungkiri janji-Nya”. (Surah Ali ‘Imran 3:9).


Penulis ialah Pensyarah  di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.