12 Oktober 2021, 21:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia dan kuasa merupakan dua perkara yang sangat berkait rapat dalam kehidupan. Tanpa kuasa, manusia tidak dapat melakukan apa-apa. Sebaliknya kuasa tanpa ada manusia yang menguruskan sudah tentu tidak dapat memberikan apa-apa implikasi dalam kehidupan. Dalam banyak hal, kuasa mutlak merupakan hak milik Allah Azzawajalla. Dialah yang Maha Berkuasa mengurus dan mengatur kehidupan makhluk-Nya.

Bagi mentadbir urus bumi ini, Allah SWT berkehendak untuk memberikan kepada sesiapa sahaja kekuasaan ini. Dia berkuasa untuk memberikan kuasa ini kepada sesiapa sahaja mengikut kehendak-Nya.

Hal ini disebutkan dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan, Engkaulah sahaja ada segala kebaikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Ali ‘Imran 3:26).

Demikian juga peringatan Allah SWT buat para hamba-Nya yang sentiasa mengidamkan kekuasaan. Kekuasaan itu boleh jadi satu kemuliaan kepada manusia, malah boleh jadi satu penghinaan. Untuk melakukan kebaikan, kekuasaan bukanlah syarat utama untuk melaksanakan hal tersebut, tetapi kemahuan kita untuk berkhidmat meskipun tanpa penghormatan pangkat dan kedudukan.

Dengan kekuasaan yang dipegang pada hari ini, ketahuilah bahawa kekuasaan bukan sekadar amanah daripada AllahSWT. Kekuasaan merupakan ujian yang berat dan dugaan yang hebat bagi sesiapa yang memilikinya. Atas nama kekuasaan, ramai manusia memuliakan pemegang kuasa, menghormati dan berbuat baik dengannya. Namun begitu, setelah hilang kuasa, kebiasaannya hilanglah rakan taulan.

Kekuasaan yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya tidak semestinya bermaksud Allah memuliakannya. Ada juga kerana kuasa, Allah menghinanya. Lihatlah bagaimana Firaun yang memiliki kuasa pemerintahan, istana yang tersergam, tentera yang gagah dan ahli sihir yang setia berkhidmat untuknya, namun namanya tercatat dalam al-Quran sebagai orang yang dihina oleh Allah Rabbuljalil.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): ‘Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya’”. (Surah al Ghafir 40:45-46).

Kekuasaan juga boleh hadir dengan penuh kemuliaan daripada Allah SWT. Lihatlah ketika Allah Azzawajalla memuliakan kerajaan Nabi Sulaiman a.s. dengan keindahan istana baginda yang tidak tandingan pada waktu itu sehingga dapat menjentik hati Ratu Saba’. Allah SWT memuliakan baginda dengan kedudukan yang sentiasa dekat dengan-Nya.

Walaupun Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan, sedikit pun kekuasaan itu  tidak melalaikan baginda, malah semakin dekat dengan Allah.  Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Baginda (Sulaiman) mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik”. (Surah Sad 38:40).

Kegilaan mendapatkan kuasa akan membawa kepada kebinasaan dan keruntuhan. Renungilah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya binasa umat terdahulu daripada kamu atas perbuatan mereka yang banyak mempersoalkan dan suka bertelagah dengan pemimpim mereka”. (Hadis riwayat Muslim).

Betapa buruknya sikap mereka yang terlalu gila akan kuasa, malah sanggup bergaduh dan bertelagah sehingga akhirnya merugikan mereka itu sendiri. Pada masa yang sama, dalam tidak sedar, sikap gila akan kuasa ini akan menimbulkan perasaan hasad dan suka mencari keaiban orang lain.

Fudail bin ‘Iyyad berkata, “Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan benci untuk menyebut kebaikan orang lain”.

Ingatlah, tatkala ada dalam kalangan kita yang gilakan kuasa, Allah SWT telah mengingatkan kepada kita betapa besarnya amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang kita galas.

Menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi, serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada persediaan pada mereka untuk memikulnya). Dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah al Ahzab 33:72).

Mafhum daripada ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab dan amanah itu sememangnya amat berat sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar pun tidak sanggup memikulnya. Sedangkan pada pandangan kasar bentuk fizikal langit, bumi dan gunung-ganang itu sememangnya besar berbanding dengan manusia yang kerdil dan penuh kelemahan.

Manusia pula bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun serba-serbi kekurangan dan memiliki kelemahan. Namun begitu, sungguhpun kerdil mereka suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak mendatangkan manfaat dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari, daripada Abi Hurairah r.a., dia berkata, “Ketika Nabi Muhammad SAW menasihati kaum dalam sebuah majlis, Baginda didatangi seorang Badwi seraya berkata, ‘Bilakah terjadinya kiamat?’ Rasulullah SAW masih terus menyampaikan nasihat kepada para sahabat. Ada sebahagian berpendapat mengatakan Baginda mendengar pertanyaan Badwi itu, tetapi membenci pertanyaannya. Pendapat lain pula mengatakan bahawa Baginda tidak mendengar pertanyaan itu. Apabila Nabi Muhammad SAW selesai memberikan nasihat, lalu Baginda bertanya, ‘Di mana orang yang bertanya tentang kiamat itu.’ Orang itu menjawab, ‘Saya, ya Rasulullah.’ Lalu, Baginda bersabda, ‘Jika dihilangkan atau diselewengkannya amanah, maka tunggulah waktunya’. Badwi tersebut bertanya lagi, ‘Bagaimana penyelewengan tersebut?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Apabila suatu urusan tidak diberikan kepada yang ahlinya, maka tunggulah waktunya (pembalasan pada hari kiamat)’”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, sentiasalah meletakkan diri dalam keadaan bermuhasabah dan memahami inti pati hadis ini. Ingatlah bahawa kekuasaan tidak semestinya bermaksud Allah SWT memuliakan seseorang yang memegang kuasa itu. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa pun yang terlepas daripada melakukan kesilapan.

Kekuasaan merupakan ujian bagi sesiapa yang menanggungnya. Maka itu, memimpinlah dengan penuh amanah, semoga kelak menjadi penyebab kemuliaan untuk kita. Mudah-mudahan Allah SWT mengampuni dan merahmati diri kita.


Muhammad Faidhi Azis ialah Pegawai Takmir di Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.