10 Oktober 2021, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan lebih dua juta penyertaan sempena Bulan Dakwah 2.0 yang bermula dari 8 Oktober hingga 31 Disember ini.

Menurut Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hasan, sebanyak 3000 program akan dilaksanakan pada tahun ini berbanding dengan tahun lepas. Bulan Dakwah merupakan program utama YADIM dalam usaha menyebarluaskan dakwah ke seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad telah melancarkan dan merasmikan Bulan Dakwah 2.0 pada 8 Oktober 2021 dan disiarkan secara langsung dalam Program Cinta Rasulullah SAW melalui TV Alhijrah.

YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad (kiri) ketika melakukan gimik perasmian Bulan Dakwah 2.0 yang disiarkan secara langsung dalam Program Cinta Rasulullah melalui TV Alhijrah.

Bulan Dakwah YADIM 2.0 diadakan bertujuan untuk melahirkan pendakwah yang berkemahiran tinggi dan bijaksana, membina jaringan dengan pelbagai pihak bagi menyemarakkan aktiviti dakwah dalam kalangan masyarakat, dan membina kesedaran masyarakat untuk menghayati cara hidup mengikut ajaran Islam secara komprehensif.

Antara program yang telah dirancang sepanjang Bulan Dakwah 2.0 termasuklah program besar seperti Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti Sirah Al-Nabawiyah Al-Rahiq Maukhtum (sebuah kitab pengisahan junjungan besar Rasulullah SAW), Akademi Dai Muda YADIM dan Bengkel Murabbi Rakan Belia YADIM peringkat kebangsaan.

Selain itu, turut diadakan program Konvensyen Dakwah Negara 2021, Program Motivasi Khas Ujian Penilaian Kertas Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), program bersama penghuni penjara, kembara dakwah dan lain-lain lagi acara di seluruh negara.

Semoga penganjuran Bulan Dakwah 2.0 dapat terus menyemarakkan lagi aktiviti dakwah di negara ini selain mampu mencapai objektif yang digariskan. Kita boleh mencontohi usaha dakwah Rasullullah SAW yang sentiasa istiqamah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.