30 September 2021, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Tulisan Jawi telah digunakan secara meluas sejak berabad dahulu dan merupakan identiti negara dan bangsa kita. Sayangnya, hari demi hari tulisan Jawi semakin terpinggir dalam kehidupan masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda. Dalam usaha untuk terus mempertahankan dan memperkasakan tulisan Jawi di negara ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sekali lagi menganjurkan Karnival Semarak Jawi@JAKIM pada tahun ini.

Karnival Semarak Jawi merupakan program utama pembudayaan tulisan Jawi PNM sejak tahun 2011. Karnival ini merupakan inisiatif berterusan pemugaran tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Karnival yang berkonsepkan pendidikan kemasyarakatan ini menumpukan kegiatan pendidikan yang diselanggarakan di luar sistem formal.

Pada tahun ini, Karnival Semarak Jawi@JAKIM dilangsungkan secara dalam talian selama dua hari, iaitu pada 28 dan 29 September 2021 melalui aplikasi Youtube rasmi PNM dan Facebook rasmi JAKIM. Majlis Perasmian karnival ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM pada 28 September 2021.

(Sumber: Facebook Perpustakaan Negara Malaysia)
(Sumber: Facebook Perpustakaan Negara Malaysia)

Objektif penganjuran karnival ini adalah untuk memperkasakan dan menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat; memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang pembelajaran dan pengajaran tulisan Jawi menerusi inovasi Jawi; menjadikan tulisan Jawi sebagai medium penyampaian di samping tulisan Rumi; dan untuk menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti berkaitan dengan penggunaan tulisan Jawi.

Pelbagai program telah diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung. Antaranya termasuklah sesi perkongsian daripada Pengarah Bahagian Penerbitan JAKIM, YBrs. Dr. Lokman Ab. Rahman yang membicarakan tentang tajuk “Bacaan Kegemaran Saya”; dan forum bertajuk “Pelestarian Tulisan Jawi dalam Era Digital dan Modenisasi” yang menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Profesor Emeritus Dato’ Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid dan mantan prosfesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Emeritus Dr. Muhammad Bukhari Lubis.

Selain itu, sesi e-Literasi Jawi Siri 1 telah disampaikan oleh Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Ustazah Noor Anita Sihab@Abdul Rahman yang membincangkan tajuk “Sistem Ejaan Kata Melayu Jati: Tatacara Pengejaan dan Pengecualiannya”.

Sesi e-Literasi Jawi Siri 2 pula disampaikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abd Aziz yang memperkatakan tajuk “Ejaan Jawi bagi Kata Serapan”.

Bagi menyemarakkan lagi karnival tersebut, pihak penganjur juga mengadakan Pertandingan Tulisan Jawi dalam Talian yang bermula pada 28 September 2021 hingga 25 Oktober 2021. Antaranya termasuklah Pertandingan Si Cilik Pintar Jawi, Pertandingan Tinta Jawi Kreatif, Pertandingan Cabaran Jejak Jawi, Pertandingan Seni Khat dan Pertandingan Pantun Jawi (bukan Melayu).

Karnival Semarak Jawi@JAKIM ini diharap akan dapat menarik minat masyarakat  untuk mendekati tulisan Jawi, seterusnya mampu memperkasakan tulisan ini di negara kita. Pendekatan yang lebih proaktif daripada pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan sedikit banyak mampu untuk mengembalikan kegemilangan tulisan Jawi pada suatu masa dahulu. Tulisan Jawi Tulisan Warisan Bangsa.

 

.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.