24 September 2021, 18:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Selaras dengan pengumuman YB Menteri Kanan Pendidikan berkenaan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Oktober 2021, JAKIM memaklumkan bahawa pengoperasian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara bagi murid Tahun Satu hingga Enam akan diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga takwim persekolahan tahun 2021 berakhir.

Selain itu, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk calon tahun 2020 dan 2021 bagi subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November 2021 akan digantikan dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 dan perkembangan Fasa PPN di negara ini, khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua tenaga pengajar KAFA.

Idris Ahmad ketika memaklumkan tentang pengoperasian KAFA secara PdPR dan UPKK digantikan dengan penilaian penuh.

Menurutnya, keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid terhadap subjek yang dipelajari bermula dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

“Kemenjadian murid-murid dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah. Oleh itu, bagi tujuan ini, JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

“Pelaksanaan UPKK secara penilaian ini tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta guru KAFA dan murid terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh JAKIM nanti. Ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti pendidikan KAFA secara PdPR.

“JAKIM sentiasa komited untuk memastikan Pendidikan KAFA bergerak seiring demi memastikan kemenjadian murid,” ujarnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.