23 September 2021, 19:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani COVID-19 (PIAGAM C-19) merupakan pelan yang dirangka bagi memenuhi lima strategi yang dikenali sebagai “Inisiatif Mantap”. Inisiatif ini berfokuskan pelaksanaan dasar dan program ke arah membawa keluar Keluarga Malaysia daripada kesempitan hidup akibat pandemik COVID-19 dengan tema “Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani COVID-19”.  PIAGAM C-19 ini akan digunakan sebagai garis panduan kesemua agensi  agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, inisiatif ini selari dengan kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi. Beliau juga akan memastikan 14 agensi mempunyai satu kesatuan fikrah, dan akhirnya dapat melahirkan kesatuan tindakan untuk kebaikan ummah dan negara.

PIAGAM C-19 ini merangkumi lima inisiatif utama, iaitu pertama; pemantapan mental, jasmani dan rohani yang melibatkan tujuh agensi kerajaan yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), TV AlHijrah dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP). Inisiatif ini diterajui oleh JAKIM.

Inisiatif kedua ialah pemantapan sistem pendidikan Islam yang diterajui oleh JAKIM bersama tujuh agensi pelaksana yang lain, iaitu JAWI, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), TV AlHijrah, IKIM, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), YADIM dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Inisiatif ketiga dalam pelan ini ialah pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam yang akan diterajui oleh JAKIM dengan dibantu oleh agensi pelaksana, seperti JAWI, JKSM, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), IKIM, TV AlHijrah, YADIM, PMWP dan MAIWP.

Pemantapan institusi masjid dan surau merupakan inisiatif keempat yang diterajui oleh JAWI dan dibantu oleh JAKIM, PMWP, IKIM, TV AlHijrah, YADIM dan MAIWP sebagai agensi pelaksana. Insiatif yang kelima pula ialah pemantapan sosioekonomi ummah yang akan diterajui oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan dibantu oleh MAIWP, YADIM, YMW, Lembaga Tabung Haji (LTH), YaPEIM, JAKIM dan TV Al-Hijrah.

PIAGAM C-19 ini merangkumi pelbagai strategi dan aktiviti yang sedang aktif dan akan dijalankan dalam tempoh 100 hari sekali gus menyahut saranan perdana menteri. Diharapkan pelaksanaan pelan ini mampu memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dapat dicapai. “Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera”.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.