23 September 2021, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Peserta qari, Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin dan peserta qariah, Lailasari Sabran diumumkan sebagai johan Majlis  Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan yang berakhir pada petang tadi. Johan qari dan qariah masing-masing memenangi hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5000.00, pakej umrah bernilai RM7000.00, piala pusingan, serta piala iringan dan sijil bernilai RM200.00 setiap unit.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar secara dalam talian, dan turut disertai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar ketika merasmikan penutup Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan secara dalam talian.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan Muadzeen Ackil meraih tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori wanita pula, tempat kedua menjadi milik Noorul Hasliza Ahmad, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kamariah Yusof.

Bagi hafazan al-Quran, johan kategori 1 hingga 30 juzuk dimenangi oleh Muhammad Ziyad Mohd Husni dan Nur Izzati Norazmi. Para pemenang memenangi wang tunai berjumlah RM3000.00, pakej umrah bernilai RM7000.00, serta piala iringan dan sijil bernilai RM200.00 setiap unit.

Johan hafazan kategori 1 hingga 20 juzuk dimenangi oleh Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin dan Zuha Zahran, manakala johan kategori hafazan 1 hingga 10 juzuk pula dimenangi oleh Ahmad Afiq Ahmad Shukri dan Alhirah Salihah Al-Azmi.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M berlangsung selama empat hari bermula 20 September 2021 lalu dan berakhir hari ini secara dalam talian melalui aplikasi zoom, serta bersiaran secara langsung melalui Facebook rasmi JAWI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.