20 September 2021, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1443H/2021M telah berlangsung hari ini bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis ini akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 23 September 2021.

Majlis tersebut diadakan secara dalam talian selaras dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, tujuan penganjuran majlis tersebut adalah untuk memartabatkan kemuliaan al-Quran yang menjadi rujukan utama dalam kehidupan seharian seorang Muslim dengan cara menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, terutama umat Islam yang dilanda ujian mendepani pandemik COVID-19.

“Majlis ini bertujuan untuk  memilih calon qari dan qariah serta hafiz dan hafizah yang berkelayakan dan terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan.

“Penganjuran majlis ini juga diharapkan dapat memupuk minat generasi pada pelbagai peringkat usia lebih-lebih lagi remaja dan belia untuk mencintai al-Quran, serta mahir dalam hafazan dan bacaan al-Quran meliputi bidang suara, lagu, tajwid dan taranum,” katanya.

Pertandingan hafazan al-Quran diadakan selama tiga hari, iaitu bermula hari ini hingga 22 September 2021, manakala majlis tilawah al-Quran pula akan bermula pada 22 hingga 23 September 2021.

Majlis hafazan al-Quran pada tahun ini disertai seramai 26 orang peserta yang merangkumi tiga kategori berbeza, iaitu kategori 10 juzuk yang diwakili oleh 10 orang peserta (enam lelaki dan empat perempuan), kategori 20 juzuk yang diwakili oleh lapan orang peserta (empat lelaki dan empat perempuan), dan kategori 30 juzuk yang diwakili oleh lapan orang peserta (empat lelaki dan empat perempuan).

Tilawah al-Quran pula disertai oleh seramai 14 orang peserta, iaitu lapan peserta qari (empat orang dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya dan seorang johan menunggu) dan enam peserta qariah (dua orang dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, dua orang dari Putrajaya dan seorang johan menunggu).

Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad pada 23 September 2021 dan sekali gus akan menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.