18 September 2021, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Impian untuk melaksanakan sesuatu perubahan perlu disertakan dengan jiwa yang besar dan bersemangat tinggi. Kemampuan untuk melaksanakan perubahan bergantung pada pengetahuan dan kemahuan seseorang.Emosi tahu dan mahu ini menjadi teras kekuatan dalaman terhadap diri seseorang bagi menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang berfikiran positif, maka reaksi tindak balas luaran akan hadir dengan aura positif dan begitu juga sebaliknya.

Demikian juga pada saat Rasulullah SAW diuji dengan detik cemas ketika berjuang menegakkan agama Allah. Baginda telah meletakkan satu cita-cita yang besar dalam perjuangan Baginda. Prinsip tersebut berjaya mengecilkan masalah yang sedang dihadapi oleh Baginda dan para sahabat.

Tatkala para sahabat dihimpit ujian lelah dan lapar menggali parit semasa Perang Khandak, Rasulullah SAW menjanjikan syurga dan keampunan untuk mereka. Motivasi Baginda ini menjadikan sahabat tangkas mengejar nikmat akhirat sehingga lupa penat yang mereka lalui.

Cita-cita besar yang disematkan oleh Rasulullah SAW berjaya menyalakan roh jihad para sahabat. Biarpun mengalami pelbagai kesukaran dan ada kalanya hampir kecundang, tetapi pemikiran Baginda yang sentiasa positif dan realistik telah menarik magnetik positif para sahabat untuk terus bangkit berjuang mempertahankan agama Islam.

Seseorang yang melazimi sikap dan pemikiran yang positif, kebiasaannya akan menjadi individu yang optimis untuk mencapai matlamatnya. Einstedt menjelaskan dalam artikelnya yang berjudul “Thinking Big: Your Vehicle to Big Success” bahawa “Apabila kita benar-benar berfikiran besar, kita tidak akan berasa kecil”.

Kejayaan dalam kehidupan merupakan impian setiap insan. Namun begitu, tidak semua orang berjaya memilikinya. Orang yang susah beranggapan akan berjaya jika mereka kaya. Begitu juga orang yang berjawatan rendah beranggapan akan berjaya jika berada di tampuk jawatan tinggi.

Pada hakikatnya, sesuatu kejayaan bergantung pada pegangan hidup dan sistem kepercayaan sama ada positif atau negatif. Sebagai contoh, jika kita percaya kita tidak berguna dan tidak tahu, bermakna kita telah memberikan imej diri atau melabelkan diri kita ke arah unsur negatif. Oleh itu, bagaimanakah orang sekeliling hendak menerima kita sebagai seorang yang positif?

Manusia yang dicipta di atas muka bumi ini adalah untuk mencipta kejayaan, bukannya untuk menyeru kegagalan, malah yang diciptakan ada kecenderungan bakatnya yang tersendiri. Allah SWT tidak menciptakan manusia jahil atau bodoh, tetapi hanya kebijaksanaan yang berbeza-beza. Tidak ada manusia yang hodoh, tetapi hanya kecantikan yang berbeza-beza.

Setiap manusia mempunyai kelebihan yang harus digali untuk berjuang membina kehidupannya.

Pentafsiran kebijaksanaan dan kecantikan itu dilihat dari pelbagai sudut. Maka itu, kita tidak boleh berasa rendah diri dengan manusia. Perasaan rendah diri hanya perlu kepada Allah SWT. Sedangkan sesama manusia, kita semua sama taraf. Hal yang membezakan antara manusia dengan manusia lain ialah ilmu, iman dan amal.

Integrasi ilmu, iman dan amal ini hendaklah berteraskan wahyu. iaitu al-Quran dan sunah. Kedua-duanya mengadun satu resipi yang menghasilkan ramuan akal dan emosi. Bingkai akal dan emosi inilah yang memandu seseorang untuk menjelmakan dirinya dengan sikap baik atau buruk.

Oleh hal yang demikian, matlamat kehidupan seseorang mestilah dimulakan dengan kekuatan akidah. Kemurnian akidah akan menjelmakan akhlak yang baik yang memancarkan nilai-nilai murni, lalu dimanifestasikan melalui tingkah laku yang baik.

Usaha mencapai matlamat kehidupan bagi menyempurnakan suatu impian pasti ada cabaran dan halangan. Bagi melepasi halangan dan cabaran ini, akal dan emosi hendaklah diuruskan dengan baik.

Demikian juga perbandingan daripada pengalaman seorang nakhoda yang mengemudi kapal ke satu destinasi dengan selamat, pasti ada cabaran yang menggugat. Pastinya, seseorang nakhoda kapal terlebih dahulu menyerap tekanan positif dan meletakkan sistem kepercayaan yang tinggi bagi mencari, menganalisis dan mengatasi masalah yang dihadapi. Bukan saling menyalahi apatah lagi saling memarahi sehingga merumitkan keadaan.

Apabila suatu keadaan dihadapi dengan respons positif, maka resolusi akan menjadi positif. Hal ini yang ada dalam konteks rukun iman yang keenam, iaitu kepercayaan kepada qadak dan qadar Allah SWT.

Begitu juga analoginya dalam membawa hala tuju pengurusan organisasi yang lebih dinamik dan efisien. Pemimpin yang positif akan melahirkan pengikut yang positif sekiranya pembawaannya bergaya pemimpin.

Sememangnya, tindakan secara positif sahaja tidak mencukupi, tetapi perlu disulam dengan pemikiran yang realistik. Sistem kepercayaan ini yang perlu ada dalam kalangan pemimpin, iaitu pemikiran positif yang berteras tauhid. Aspek ini sangat penting untuk memberikan nilai kepada seseorang sehingga menghasilkan sikap yang positif dan realistik.

Tiga penanda aras bagi menilai suatu impian dan cita-cita yang realistik ialah motivasi, matlamat dan personaliti. Motivasi diperlukan sebagai pemangkin untuk terus berusaha mencapai impian dan cita-cita tersebut. Motivasi dan dorongan tanpa henti akan memberikan semangat yang berterusan di samping komunikasi berkesan bersama orang yang berpengalaman.

Matlamat pula ialah penanda yang ingin dicapai secara pragmatik dan jelas melibatkan penggunaan masa dan waktu yang realistik, serta usaha yang bersungguh-sungguh. Personaliti pula melibatkan kebolehan diri, disiplin, bakat semulajadi dan minat terhadap sesuatu perkara.

Demikian juga analogi dalam sirah Rasulullah SAW ketika menyalakan roh jihad para sahabat. Impak lapar, bimbang dan takut yang dihadapi oleh mereka dapat diserap sebaik-baiknya. Jiwa mereka berjaya dibesarkan oleh cita-cita dan keyakinan yang tinggi melalui konsep pemikiran positif.

Sejajar dengan itu, untuk membina keyakinan yang tinggi, binalah keyakinan diri dengan memasuki zon Allah SWT. Carilah keredaan dengan keyakinan dan ketakwaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa-apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)”. (Surah al-Tawbah ayat 59).

Oleh itu, kita mesti bersedia dan berani menghadapi segala masalah, cabaran dan ujian. Usah takut mencuba sesuatu yang baharu. Jauhkanlah diri daripada bayangan kegagalan silam.

Jadikanlah kegagalan itu sebagai batu loncatan untuk membuka ruang dan peluang perubahan demi kejayaan dan kebahagiaan masa hadapan. Refleksi dan muhasabah diri itu penting bagi memastikan tiada kerenggangan dalam hubungan kita dengan Allah SWT.

Seorang warga kerja yang berfikiran positif akan menjadikan institusi tempat bekerja sebagai tempat untuk membangunkan cita-cita dalam kerjayanya. Sesiapa sahaja boleh memilih untuk melaksanakan tindakan atau mencari alasan. Semakin banyak alasan yang diberikan, semakin tinggi ego untuk tidak melakukan sesuatu pekerjaan. Alasan merupakan racun yang berupaya membunuh kejayaan seseorang.

Sentiasalah berfikiran positif dan realistik, serta menyedari kelebihan dan kehebatan kita. Jika tidak yakin akan kehebatan kita, bermakna kita ragu-ragu dengan keagungan Allah SWT.

Teruskanlah memburu kejayaan untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan. Usah biarkan unsur negatif yang ada dalam diri menjadi toksik, tetapi hendaklah diserap sebagai peluang untuk mengukir impian dan cita-cita.


Mohammad Shariffuddin Jahuri ialah Penolong Pengarah di Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.