9 September 2021, 09:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

TV AlHijrah Perintis Guna Jurubahasa Isyarat dalam Rancangan Keagamaan

Kuala Lumpur – TV AlHijrah terus melaksanakan penambahbaikan dan pembaharuan demi memastikan rancangan keagamaan yang membangunkan jiwa dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat di Malaysia.

Baru-baru ini TV AlHijrah telah membuat eksperimentasi dengan meletakkan jurubahasa isyarat bagi menyantuni masyarakat Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

Percubaan pertama telah dilaksanakan pada Julai lalu menerusi rancangan “My #QuranTime”. Program tadabur al-Quran ini disiarkan secara langsung selama satu jam, iaitu bermula jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris memaklumkan bahawa TV AlHijrah merupakan stesen televisyen pertama negara yang menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi rancangan agama.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Pendidikan Al-Quran Anak Istimewa (Yayasan FAQEH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah menugaskan seorang Felo Dai Pekak USIM, Azlina Mohamed Isa sebagai penterjemah bahasa isyarat.

“Beliau bukan sahaja menterjemah apa-apa yang sedang dibincangkan oleh panel rancangan “My #QuranTime” seperti kebiasaan yang dilakukan oleh penterjemah bahasa isyarat di stesen lain, tetapi beliau turut menterjemah ayat suci al-Quran yang dilantunkan oleh qari, iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

Dari kiri, Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman merupakan tulang belakang rancangan My #QuranTime

“Jadi, di sinilah terletaknya keunikan stesen kami. Usaha ini memerlukan kepakaran, pemahaman, serta penghayatan yang sangat tinggi.

“Tiada ruang untuk sebarang kesilapan kerana kita sedang menterjemahkan kalam Allah. Saya melihat penambahbaikan yang dilaksanakan oleh TV AlHijrah ini sebagai hadiah istimewa buat rakan-rakan kurang upaya kategori pendengaran,” katanya.

Tambah Namanzee, setelah kejayaan “My #QuranTime”, kesemua program musim baharu di slot Deen yang dijadualkan siarannya Oktober depan bersifat mesra OKU pendengaran.

Antara rancangan di slot Deen siaran pukul 7.30 malam yang akan mempunyai jurubahasa isyarat ialah “Cinta Ilmu” dan “Tawajjuh”.

Kemudiannya akan diikuti oleh semua rancangan lain seperti “Ngaji On The Go”, “Riwayat Akhir Zaman”, “Bila Hijab Terbuka”, “Kembara Mahsyar”, “Hakikat Takikat Makrifat” dan “E-Kaunter Netizen”.

“Saya seru semua masyarakat OKU pendengaran untuk menonton TV AlHijrah. Kita sama-sama jadikan stesen ini sebagai ladang ilmu yang akan dituai hasilnya di akhirat nanti Insyaallah,” jelas Namanzee.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.