9 September 2021, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penterjemah bahasa isyarat, Azlina Mohamed Isa berkata kemunculannya di TV AlHijrah sangat disenangi oleh rakan-rakan yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), terutama kategori Orang Pekak.

“Saya mengambil serius amanah yang diberikan oleh TV AlHijrah ini kerana saya adalah suara rakan-rakan OKU pekak. Ini jihad saya untuk menyebarkan dakwah melalui penterjemahan kandungan Islam di televisyen secara tepat, mudah difahami dan menarik.

“Pada waktu ini, isyarat berkaitan dengan al-Quran masih tidak banyak. Jadi, saya perlu pantas berfikir dan memastikan terjemahan saya itu tepat dengan bait-bait al-Quran, kandungan rancangan, serta apa-apa yang diutarakan oleh para asatizah,” katanya.

Azlina Mohamed Isa.

Baru-baru ini TV AlHijrah telah membuat eksperimentasi dengan meletakkan jurubahasa isyarat bagi menyantuni masyarakat OKU pendengaran. Percubaan pertama telah dilaksanakan pada Julai lalu menerusi rancangan “My #QuranTime”.

Selaku seorang Felo Dai Pekak USIM, Azlina tidak melihat cabaran menterjemah bahasa al-Quran sebagai limitasi untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat OKU kerana beliau mengambil rujukan isyarat terjemahan al-Quran dari pelbagai negara Arab sebagai panduan serta mengubahsuai mengikut konteks budaya komuniti OKU pendengaran di Malaysia.

“Menterjemah al-Quran menggunakan bahasa isyarat merupakan satu cabang ilmu yang harus diterokai demi pembangunan ummah. Semoga usaha TV AlHijrah meraikan komuniti OKU pendengaran di Malaysia ini dapat memanfaatkan mereka,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.