28 Ogos 2021, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air, TV AlHijrah akan menyajikan rancangan “Ulama Kemerdekaan” yang akan bersiaran pada hari Isnin dan Selasa, pukul 7.25 malam. Rancangan tersebut merupakan antara slot yang disusun sempena Kempen Merdeka yang berlangsung mulai 23 Ogos hingga 16 September 2021. Selain berkongsi tentang biografi 13 orang ulama Melayu seperti Tok Kenali, Tok Ku Paloh, Kiyai Haji Salleh dan Tuan Guru Haji Zainal Abidin, kapsul infografik ini turut memaparkan kisah peranan mereka dalam usaha menyebarkan agama Islam dan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.

Selain itu, terdapat juga rancangan “Dokumentari Jauhari Merdeka” yang akan bersiaran pada 31 Ogos 2021, pukul 5.00 petang. Jika rancangan “Ulama Kemerdekaan” disiarkan dengan penampilan 13 tokoh ulama Melayu, rancangan “Dokumentari Jauhari Merdeka” pula hanya memfokuskan kisah perjuangan seorang tokoh, iaitu Sheikh Abdullah Fahim.

Selain keunggulannya dalam bidang falak, nama beliau juga tercatat dalam lipatan sejarah sebagai figura yang mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957 kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai tarikh kemerdekaan negara.

Rancangan lain yang turut disiarkan sempena kempen tersebut ialah “Pusaka Kita Maruah Kita”, “Malaysia #QuranHour”, “Jauhari Merdeka”, “E-Kaunter Netizen Istimewa Merdeka”, “La Tahzan Istimewa Merdeka” dan “Assalamualaikum Khas Merdeka dan Hari Malaysia”.

Kesemua rancangan yang disajikan ini bertujuan untuk memupuk semangat cinta akan negara, serta menterjemahkan solidariti dan perpaduan rakyat Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.