28 Ogos 2021, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan Syamsul Debat menyeru umat Islam supaya tidak berputus asa dengan ujian pandemik COVID-19 yang melanda negara sekarang ini.

“Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, melainkan untuk menggambarkan kekuasaannya kepada manusia. Oleh itu, jangan berhenti meminta kepada Allah kerana Allah tidak pernah berhenti memberi kepada umat-Nya sampai bila-bila,” katanya.

Beliau menyampaikan Ceramah Khas Hijrah bertajuk “Bangkit Mengatur Langkah Mendepani Musibah” yang disiarkan melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi.

Katanya lagi, “Hijrah bukan sahaja bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi juga bermaksud sejauh mana kita menyerah diri kepada Allah dan meninggalkan perkara yang buruk dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.”

Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 100 yang bermaksud, “Dan barang siapa berhijrah pada jalan Allah, nescaya mereka akan mendapati bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Tambahnya, “Ujian merupakan satu bentuk teguran Allah SWT kepada hamba-Nya yang melanggar hukum Allah. Dan satu daripada cara Allah menegur adalah dengan cara didatangkan ujian COVID-19. Teguran bukan bertujuan supaya kita lebih jauh daripada Allah, tetapi supaya kita lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Sebagai umat Islam, kita perlu bertaubat dengan kesalahan yang dilakukan kerana bertaubat juga merupakan satu bentuk hijrah.”

Berkenaan pengambilan vaksin, Syamsul Debat berkata, hal tersebut merupakan satu bentuk ikhtiar untuk menghindari penyakit. Hukumnya harus kerana tidak mengandungi unsur yang haram, malah wajib kerana ada maslahah yang perlu dijaga. Pengambilan vaksin bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri, tetapi yang lebih penting untuk menjaga kemaslahatan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak beriman seorang antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa-apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Beliau menyeru umat Islam supaya kembali kepada akidah, akhlak, aspirasi takwa, iaitu kembali kepada Allah SWT dalam apa-apa jua ujian yang dihadapi. Krisis besar umat Islam sekarang ini ialah soal sikap dan adab.

“Oleh itu, perlu ada perpindahan sikap daripada buruk kepada baik, baik kepada lebih baik, dan lebih baik kepada yang lebih baik lagi. Sesungguhnya Allah tidak akan menimpa sesuatu ujian melainkan sesuai dengan kemampuan umat-Nya,” katanya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.