28 Ogos 2021, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Setiap orang yang hidup di muka bumi ini pasti menyedari bahawa kehidupan akan diakhiri dengan kematian. Kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara waktu. Bagi orang Islam, kita perlu beriman bahawa selepas berakhirnya kehidupan dunia, maka bermulalah perjalanan kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Apabila tiba saat yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk meninggalkan dunia, maka tidak ada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Penetapan ajal seseorang hanya berada dalam pengetahuan Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud, “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (ajal yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan”. (Surah al-A‘raf 7:34).

Banyak ayat al-Quran yang mengingatkan kita tentang kematian. Semua ayat tersebut secara jelas menyatakan bahawa kita pasti akan meninggalkan dunia dengan segala kenikmatannya dan tidak akan berdaya untuk mengelak daripada menemui kematian.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. (Surah al-Nisa’ 4:78).

Menyedari hakikat bahawa kehidupan di dunia perlu dimanfaatkan untuk mengecapi kebahagiaan di akhirat, maka setiap umat Islam perlu berusaha meraih keredaan Allah SWT selama diberikan peluang untuk hidup di dunia ini.

Oleh itu, setiap orang perlu berusaha untuk mendapat pengakhiran kehidupan yang baik. Pengakhiran kehidupan yang baik merupakan petanda seseorang akan mengecapi nikmat yang lebih besar di akhirat nanti.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mendapatkan pengakhiran kehidupan yang baik atau disebut husnul khatimah? Kita sering mendengar orang menyebut istilah husnul khatimah. Namun begitu, adakah semua orang berpeluang untuk mendapat husnul khatimah?

Istilah husnul khatimah ialah satu ungkapan yang merujuk pengakhiran kehidupan yang baik dan mendapat kemuliaan daripada Allah SWT. Setiap orang berpeluang untuk mendapat husnul khatimah selagi kehidupannya dimanfaatkan untuk melakukan kebaikan seperti yang dituntut oleh Islam.

Pada hakikatnya, seluruh kehidupan perlu dimanfaatkan untuk memperoleh husnul khatimah dan setiap kita mesti bercita-cita untuk mendapatnya. Kita sering membaca doa atau mendengar bacaan doa yang inti patinya mengharapkan pengakhiran kehidupan yang baik dengan dikurniakan husnul khatimah dan dijauhkan daripada keadaan sebaliknya, iaitu suul khatimah.

  اَللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوْءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya, “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah Engkau matikan kami dalam keadaan suul khatimah”.

Cita-cita untuk memperoleh husnul khatimah bukan sekadar impian tanpa sebarang tindakan. Setiap perbuatan dan percakapan perlu selari dengan harapan untuk memperoleh husnul khatimah. Ingatlah bahawa kita tidak diciptakan secara sia-sia. Oleh itu, setiap detik yang berlalu dalam kehidupan ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk meraih keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud, Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) secara sia-sia (tanpa tujuan)? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami (Allah)”? (Surah al-Mu’minun 23:115).

Antara cara untuk memperoleh husnul khatimah termasuklah sentiasa mengingati kematian. Hal ini antara cara terbaik untuk memastikan diri tidak lalai daripada berusaha untuk mendapat pengakhiran kehidupan yang baik.

Tanpa mengingati kematian, kita seolah-olah tidak menyedari atau mengingati kematian yang pasti datang. Buktinya, ada dalam kalangan umat Islam yang percaya tentang kematian, namun kehidupannya masih bergelumang dengan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Rasulullah SAW berpesan betapa perlunya kita mengingati kematian menerusi sabda Baginda yang bermaksud, “Perbanyakkan mengingati pemutus kenikmatan (dunia).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Jami‘ al-Tirmidzi, Kitab al-Zuhd ‘an Rasulillah, no. 2307).

Apakah yang dimaksudkan dengan pemutus kenikmatan atau kelazatan hidup tersebut? Pemutus kenikmatan atau kelazatan hidup itu ialah kematian. Apabila berlaku kematian, maka berakhirlah peluang seseorang untuk merasai kenikmatan dunia yang hakikatnya bersifat sementara.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya”. (Surah Ali ‘Imran 3:185).

Oleh itu, usaha memperbanyak amalan kebaikan dalam kehidupan sama ada kecil atau besar perlu dilakukan oleh setiap orang yang mengimpikan husnul khatimah. Setiap amalan yang baik pasti ada nilaiannya di sisi Allah SWT. Sesungguhnya, setiap amalan kebaikan dapat menghapuskan dosa dan kesilapan yang lalu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud, “Sesungguhnya amalan kebajikan itu menghapuskan kejahatan”. (Surah Hud, 11:114).

Amalan sedekah yang berterusan memberikan impak yang besar dalam kehidupan seseorang mahupun selepas kematiannya.

Sekiranya seseorang sentiasa melazimi amalan yang baik, maka ini merupakan satu petunjuk jelas bahawa dirinya akan diakhiri dengan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barang siapa mengucapkan ‘lailahaillallah’ (Tidak ada tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah) kerana mencari keredaan Allah kemudian amalnya ditutup dengannya, maka dia masuk syurga. Barang siapa berpuasa kerana mencari keredaan Allah kemudian amalnya diakhiri dengannya, maka dia masuk syurga. Barang siapa bersedekah kemudian itu menjadi amalan terakhirnya, maka dia masuk syurga”. (Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 22235).

Setiap orang Islam juga perlu sentiasa memastikan dirinya tetap berpegang pada jalan Allah SWT. Pelbagai cabaran kehidupan masa kini perlu dipastikan tidak dapat menggugat walau sedikitpun pegangan diri terhadap satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT.

Hayatilah maksud bacaan doa iftitah yang dibaca setiap kali menunaikan solat fardu yang antara maksud ungkapan akhir doa tersebut, iaitu “Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada sekutu bagi-Nya dengan sesuatu pun dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin (orang Islam).”

Usah hanya membaca doa Iftitah sekadar di bibir sahaja, sebaliknya hayatilah erti bacaan tersebut kerana menyerlahkan cita-cita kita untuk memperoleh husnul khatimah. Hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memperoleh husnul khatimah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang akhir perkataannya adalah kalimah ‘lailahaillallah’ (tidak ada tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah), maka dia akan masuk syurga”. (Hadis riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab al-Jana’iz, no. 2758).

Jika diperhatikan pengalaman menyaksikan pemergian insan tertentu yang mendapat husnul khatimah, sepatutnya diri perlu sedar tentang kepentingan untuk berusaha mengikut jejak langkah mereka. Sebenarnya setiap peristiwa kematian yang melibatkan orang di sekeliling perlu dijadikan peringatan diri agar terus bersedia menghadapi saat kematian.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bernama ‘Ammar bin Yasir direkodkan berkata bahawa, “Cukuplah kematian sebagai peringatan, yakin kepada Allah sebagai kekayaan, dan ibadat sebagai kesibukan”. (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman, no. 10556).

Sepatutnya setiap kematian yang berlaku di sekeliling kita menghidupkan jiwa agar terus memperbaiki diri serta memelihara keimanan kepada Allah SWT. Hanya dengan keimanan yang mantap kepada-Nya akan melayakkan seseorang memperoleh husnul khatimah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa-apa jua pun), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. (Surah al-Nisa’ 4:48).


Mohd Shahrizal Nasir ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.