27 Ogos 2021, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Pendakwah sewajarnya lebih ke hadapan melalui pendekatan dakwah yang lebih santai, ringkas, interaktif dan menarik minat pelbagai golongan, terutama anak muda. Tazkirah pendek, kapsul dakwah atau sketsa drama pendek merupakan peluang untuk para pendakwah masa ini meneruskan usaha dakwah mereka dalam bentuk yang lebih menarik.” Demikian ucapan Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dalam ucapan alu-aluan “Forum Pendakwah Era Pandemik COVID-19: Pengalaman Negara MABIMS” yang disiarkan melalui Facebook Langsung JAKIM.

Forum empat buah negara MABIMS tersebut menampilkan empat orang ahli panel, iaitu Ustaz Haji Ahmad Abdussalam Haji Abdul Rahman; Pegawai Ugama Kanan Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Agama Brunei Darussalam, Drs. Haji Syamsul Bahri; Direktor Penerangan Agama Islam, Kementerian Agama Indonesia, Ustaz Haji Nasrudin Hasan; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan; Pengerusi Masjid al-Falah, Singapura, serta Ustaz Mohd Hariri Haji Mohamad Daud selaku moderator dari Malaysia.

Keempat-empat panel mengulas tentang cabaran yang dihadapi oleh para pendakwah ketika era pandemik COVID-19. Usaha yang dilakukan adalah untuk memastikan kehidupan beragama dapat diteruskan dan masyarakat yang berada dalam kesusahan dapat dibimbing dan dipimpin agar dapat melalui cabaran ini dengan baik.

Ahli panel forum yang mewakili empat buah negara MABIMS.

Menjelaskan keadaan di Malaysia, Ustaz Nasrudin berkata, umat Islam secara amnya mengalami kejutan amalan apabila terpaksa menjalani ibadat dalam suasana norma baharu seperti jemaah solat dihadkan dan tiada aktiviti keagamaan di masjid. Bagi golongan yang tidak dapat menerima keadaan tersebut, mereka secara halus cuba merosakkan kefahaman umat Islam dengan mengatakan usaha itu merupakan konspirasi pihak tertentu untuk menghancurkan Islam.

Hal ini menjadi cabaran bagi para asatizah untuk memberikan pencerahan kepada umat Islam betapa pentingnya usaha dan ikhtiar untuk menghindari sesuatu penyakit. Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dan larilah kamu daripada penyakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa”.

“Ujian ini perlu ditangani secara bersama. Islam perlu digerakkan dengan dakwah untuk menenangkan jiwa orang Islam, kerana tiada yang dapat menenangkan jiwa selain kembali kepada Islam dan menerima takdir Allah,” katanya.

Selain itu, cabaran yang dihadapi oleh para pendakwah kini ialah larangan aktiviti bersemuka yang memerlukan mereka menggunakan media baharu untuk menyampaikan dakwah. Walau apa-apa pun situasinya, aktiviti dakwah perlu diteruskan. Oleh itu, para pendakwah tidak boleh ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat kerana platform tersebut akan merancakkan lagi usaha dakwah.

Menyentuh tentang cabaran dakwah menggunakan teknologi digital, Ustaz Khairul Anwar berkata, cabaran tersebut bukan sahaja dihadapi oleh para pendakwah, tetapi juga warga emas kerana mereka agak ketinggalan dalam bidang tersebut. Oleh itu, di Singapura khususnya, warga emas diberikan latihan menggunakan alat digital secara percuma bagi membolehkan mereka menggunakan platform tersebut untuk mengikuti pengajian agama.

“Dalam kita berdakwah secara digital, kita harus mengimbangi keperluan untuk berada di alam digital dan keperluan untuk bermasyarakat. Bukan sahaja para pendakwah perlu menjadi dai yang hebat, masyarakat juga perlu bijak memilih bahan dan saluran dakwah yang baik,” katanya.

Berdasarkan ulasan ahli panel, isu yang dihadapi oleh para pendakwah di keempat-empat negara MABIMS adalah sama, cuma sedikit berbeza dari segi pendekatan yang diambil. Namun begitu, semua pendekatan tersebut bertujuan untuk membimbing dan mendidik masyarakat supaya reda dan tenang menghadapi ujian Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.