25 Ogos 2021, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepengikutan secara umumnya ditakrifkan sebagai perbuatan yang dilakukan oleh pengikut yang terdiri daripada golongan yang berada pada tahap tidak mempunyai kuasa, pengaruh dan autoriti. Oleh itu, kepengikutan selalunya digambarkan sebagai sesuatu yang pasif atau dalam peribahasa Melayu disebut “seperti lembu dicucuk hidung”.

Secara asasnya, pemimpin dan pengikut saling memerlukan antara satu sama lain kerana pemimpin tidak boleh menjadi pemimpin tanpa pengikut. Pengikut pula semestinya berharap kepada pemimpin untuk membawa mereka kepada satu arah tujuan.

Demikianlah yang dijelaskan oleh Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Haji Siraj@Ramli, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, ketika mengupas tajuk “Kepengikutan” dalam “Program Ambang Merdeka Peringkat Dewan Bahasa dan Pustaka” yang disiarkan secara langsung pada pukul 9.00 malam tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

“Dalam masyarakat feudalistik, kepimpinan berada di atas dan kepengikutan berada di bawah. Situasi tersebut seolah-olah mencipta jurang yang menjadi kecerunan kuasa dan pengaruh antara kedua-duanya. Oleh itu, apabila terdapat tindak tanduk kepimpinan yang perlu ditegur atau diperbetulkan, maka pengikut tidak mempunyai keupayaan untuk menegur.”

Namun begitu, hubungan antara pengikut dengan pemimpin yang sebenarnya bukanlah pemimpin lawan kepada pengikut, tetapi lebih kepada dinamika pengikut dan pemimpin yang bertimbal balik. Perlu difahami bahawa kepengikutan itu sebahagian daripada kepimpinan, dan kepengikutan mesti diperkasakan supaya suatu hari nanti mereka menjadi pemimpin yang baik.

Menurut Profesor Dr. Harlina, dalam konteks kepimpinan, pemimpin harus bergerak beriringan dengan pengikut, bukannya berada di hadapan kerana secara logiknya orang memimpin berjalan seiringan dengan orang dipimpin. Dalam hal ini, pemimpin juga harus menghormati pandangan pengikutnya dan mengamalkan budaya syura supaya sesuatu keputusan yang diambil mendapat persetujuan pengikut.

Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj dalam Program Ambang Merdeka.

Menyentuh tentang Revolusi Perindustrian 4.0, Profesor Dr. Harlina berkata, manusia masih memerlukan kepimpinan yang mempunyai ciri manusiawi walaupun kecerdasan pembuatan berada pada tahap keupayaan yang berganda-ganda. Amat perlu kepimpinan hari ini mempunyai keupayaan menyantuni dan meraikan pengikutnya kerana pengikutnya terdiri daripada manusia. Oleh sebab itu, manusia hari ini memerlukan pemimpin yang empati dan sanggup mengakui kelemahan, serta cuba membaikinya.

“Oleh itu, perlu ada mekanisme untuk menegur dan membetulkan supaya segala kesenjangan dalam konteks keadilan sosial ini dapat dihapuskan dan di situlah berlakunya timbal balik antara pengikut dengan pemimpin,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan bahawa sebenarnya semua orang adalah pemimpin, termasuklah kaum wanita yang menjadi tonggak dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Oleh itu, beliau menyeru semua wanita untuk memberikan sumbangan yang lebih dari sudut kepimpinan melalui budaya kepengikutan yang betul dan bijak supaya mereka dapat menumbuhkan pengikut yang bakal menjadi pemimpin yang berjaya dan dihormati.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.