27 Julai 2021, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 yang melanda negara kita lebih setahun yang lalu telah menyebabkan masyarakat mula tertekan sehinggakan ada dalam kalangan mereka mengalami masalah kesihatan mental. Kesihatan mental sebenarnya perlu diambil berat oleh setiap individu kerana hal tersebut merupakan asas kesejahteraan dalam kehidupan. Jika dahulu masyarakat kurang berfikiran terbuka berkaitan dengan isu ini, namun akhir-akhir ini isu kesihatan mental mula diberikan perhatian yang serius. Sebagai manusia, kita tidak sedar bahawa kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dalam Islam, hamba-Nya bukan sahaja dituntut supaya menjaga kesihatan jasmani, tetapi juga kesihatan rohani.

Atas kesedaran tersebut, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan beberapa NGO Islam Selangor, seperti Pertubuhan Pendakwah Selangor (PPS), Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) telah menganjurkan Wacana Kesihatan Mental Bersama NGO Islam Selangor pada 24 Julai 2021. Wacana yang berlangsung dari pukul 6.45 pagi hingga 11.00 malam itu disiarkan secara dalam talian di Facebook YADIM dan beberapa Facebook pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor untuk tontonan umum.

Sumber: Facebook YADIM

Wacana kesihatan mental tersebut dibahagikan kepada enam sesi. Sesi pertama mengupas isu “Kesihatan Mental dari Persepktif al-Quran dan Hadis” yang disampaikan oleh Bendahari Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSel), Ustaz Dr. Zainal Abidin bin Kusmin. Sesi diteruskan dengan Bicara Dhuha yang bertajuk “Lapan Tips Penjagaan Kesihatan Mental dalam Surah al-Ma‘arij”. Ahli panel terdiri daripada Ustaz Nik Bakri Nik Mat; Ketua Penerangan Pertubuhan Geng Ustaz (GU), dan Ustaz Mohd Farhan Suhut; Presiden Pertubuhan GU, dengan Ustaz Mohd Farid Zainal; Pengerusi ILMAM bertindak sebagai moderator.

Sesi ketiga diteruskan dengan Bicara Santai yang bertajuk “Cara Rakyat Palestin dan Syria berhadapan Tekanan Peperangan” yang dibicarakan oleh Ustaz Nazmi Karim; Exco Muslim Care, dan Nadir al-Nuri; wakil rakyat Malaysia di Gaza, serta Dr. Muhamad Faisal; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai moderator.

“Cara Menangani Kesihatan Mental Warga Emas” merupakan tajuk bicara dalam sesi keempat dengan Ustaz Mohd Ibrahim (Rahmat Care) bertindak selaku moderator bersama barisan dua ahli panel yang terdiri daripada Prof Madya Dr. Mohd Izwan Mahmud; Kaunselor Berdaftar Pensyarah Kanan UKM, dan Dr. Ahmad Rostam bin Md Zin; Pakar Perunding Psikiatri Hospital Alor Setar.

Dua sesi terakhir dilangsungkan pada sebelah malam yang dimulai dengan tajuk “Pengorbanan Ketika Pandemik COVID-19” oleh PU Hafiz Haneefa, Pengerusi PITAS. Wacana diakhiri dengan forum yang membincangkan tajuk “Cara Islam Menghadapi Tekanan Emosi dan Kemurungan COVID-19”. Ahli panel terdiri daripada Dr. Umi Adzlin Silim; Pakar Psikiatri Hospital Serdang, dan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani; ikon dakwah YADIM, serta, Ustaz Ahmad Nazri Mat Nawi, EXCO PPS selaku moderator.

Melalui Wacana Kesihatan Mental yang berlangsung seharian secara maya ini, masyarakat dapat mengetahui dan memahami kesihatan mental daripada perspektif Islam. Ujian dan dugaan semasa pandemik COVID-19 sebenarnya masih sedikit jika dibandingkan dengan sudara Islam di Syria dan Palestin yang berhadapan dengan situasi peperangan saban hari. Wacana ini juga turut menjemput pakar psikiatri sebagai individu yang mahir dan bertauliah dalam bidang kesihatan mental. Wacana berkaitan dengan isu kesihatan mental perlu diperbanyak dan diperhebatkan lagi semasa musim pandemik COVID-19 agar masyarakat mempunyai ilmu ketika berhadapan dengan situasi sukar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.